Partime Job

Tuesday 3 April 2012

9 jam bertarung nyawa, buruh ditemui bersujud di jalan

CHUKAI – Menyayat hati! Itulah yang dapat digambarkan dengan kejadian menimpa seorang buruh yang terlibat dengan nahas sehingga menyebabkan mangsa cedera parah dan ditemui dalam keadaan bersujud di atas jalan.

Kemalangan maut berkenaan berlaku di Kilometer 140 Jalan Pintasan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat lampu isyarat Bukit Kuang di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam itu, mangsa, Mohd Saiful Anuar Abdul Razak, 29, yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ bernombor pendaftaran TQ 7918 dikejarkan ke Hospital Kemaman terpaksa bertarung nyawa selama kira-kira sembilan jam sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.30 pagi semalam.

Mangsa yang masih bujang dan menetap di Bukit Kuang dipercayai terlibat dengan kemalangan membabitkan sebuah kereta hingga mengakibatkan mangsa rebah ke atas jalan dalam keadaan bersujud dan mengalami kecederaan parah pada muka serta patah kaki kiri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Abd Marlik Hakim Johar berkata, nahas memilukan itu disedari seorang pengawal keselamatan di sebuah syarikat berdekatan lokasi kemalangan apabila mendengar bunyi dentuman kuat.

Menurutnya, sejurus mendengar dentuman kuat, pengawal keselamatan tersebut yang berumur dalam lingkungan 50-an segera menuju ke tempat kejadian yang jauhnya kira-kira 60 meter daripada tempat dia bertugas sebelum melihat seorang lelaki dalam keadaan bersujud di atas jalan tidak jauh daripada motosikal.

“Ketika itu juga pengawal keselamatan itu nampak sebuah kereta yang dipercayai terlibat dalam kemalangan berkenaan meninggalkan tempat kejadian sejauh 40 meter di hadapan,” katanya semalam.

Dipercayai mangsa ketika itu dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Chukai manakala sebuah lagi kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu dari arah Chukai menuju ke Teluk Kalong.

Akibat kejadian itu. motosikal yang dinaiki mangsa turut rosak teruk dengan tayar hadapan tercabut dan tercampak ke bahu jalan.

Bagaimanapun, sehingga tengah hari semalam polis masih belum menerima sebarang laporan daripada kenderaan yang dipercayai terlibat dalam nahas bersama mangsa.

Sehubungan itu, Abd Marlik Hakim meminta orang awam yang melihat kejadian atau yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Zulkifli Jidin menerusi talian 019-9828475 atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kemaman menerusi talian 09-8592222 sambungan 6439.

Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati terutama ketika melalui kawasan di sekitar lokasi kejadian kerana kawasan tersebut masih dalam pembinaan.

Katanya, sikap berhati-hati semua pihak dapat menghindar berlaku sebarang kecelakaan jalan raya dan kehilangan nyawa.

sumber : sinarharian

No comments: