Partime Job

Wednesday 4 April 2012

Remaja lemas ketika cuba belajar berenang

NIBONG TEBAL - Seorang remaja yang dilapor hilang selepas menjala ikan di Sungai Kerian, Ampang Jajar di sini semalam, ditemui mati lemas hari ini.

Mayat Mohd Taufik Rosli, 16, ditemui dalam keadaan tertiarap di dasar sungai berhampiran tempat dia dilapor hilang pada pukul 8.15 pagi ini. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata remaja itu bersama kembarnya, Mohd Amirul dan sepupu mereka Mohd Amri Salim, 12, dilapor ke sungai itu untuk menjala ikan pada pukul 4 petang semalam.

Sementara itu, Mohd Amirul berkata kembarnya yang tidak tahu berenang menyatakan hasrat untuk belajar berenang daripada Mohd Amri selepas melihat sepupu mereka itu turun ke sungai untuk membetulkan jala yang tersangkut.

"Pada mulanya Mohd Taufik berada di tempat cetek, tetapi tidak sampai lima minit tangannya mula terkapai-kapai. Sepupu kami cuba menyelamatkannya tetapi dalam sekelip mata abang hilang daripada pandangan kami.

"Saya sangat sedih...ini kali pertama kami menjala bersama dan hasrat abang untuk belajar berenang berakhir dengan tragedi," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajuddin, Bandar Baharu, Kedah itu. - Bernama

No comments: