Partime Job

Wednesday 4 April 2012

Pesan urus anak sebelum maut

NIBONG TEBAL: Seorang isteri sempat berpesan kepada suaminya supaya menguruskan anak mereka ketika dia keluar untuk ke tempat kerjanya sebelum terbabit dalam kemalangan di hadapan Bukit Jawi Golf Resort, di sini pagi semalam.

Rosmalia Ishak, 34, maut selepas kereta Perodua Viva dipandunya bertembung Proton Satria Neo dipandu seorang lelaki kira-kira jam 7.50 pagi.


Suami mangsa, Mohd Khuzairi Zaini, 35, berkata, isterinya sempat bersarapan bersamanya sebelum keluar rumah jam 7 pagi.

“Memang rutin harian kami bersarapan bersama sebelum arwah yang bekerja sebagai pembantu pegawai perpustakaan keluar ke tempat kerjanya.


“Tempat tinggal kami yang agak jauh dari tempat kerja arwah menyebabkannya yang mula kerja pada jam 8 pagi terpaksa keluar awal,” katanya yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda, Bukit Mertajam.


Menurutnya, ketika bersarapan isterinya berpesan menguruskan dua anaknya ke sekolah dan bayi mereka ke rumah pengasuh.

Katanya, pesanan isterinya itu akan terus diingati walaupun kata-kata itu sering diungkapkan setiap kali Rosmalia keluar bekerja.


“Kini saya akan tumpukan perhatian kepada tiga anak yang masih kecil tetapi belum memikirkan lagi siapa yang akan menjaga mereka,” katanya.

sumber : mymetro

No comments: