Partime Job

Wednesday 18 April 2012

Penyelia terkandas dalam banjir, kereta hanyut dua meter


TAPAH - “Arus air deras seolah-olah ombak besar tiba-tiba meluru ke arah saya sebelum kereta saya mula ditenggelami air,” kata penyelia sebuah kilang di Batu 12, Jalan Bidor, di sini, S Sathiaseelan, 55.

Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja melalui jalan berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sini.

“Ketika sampai di Bidor kira-kira jam 6.30 petang kelmarin, jalan yang sering dilalui sejak empat tahun lalu mula dinaiki air dan keadaan cuaca ketika itu hujan lebat.

“Namun, setiba di kawasan berhampiran JPJ, secara tiba-tiba saya terlihat seolah-olah satu ombak besar datang sebelum kereta saya dipenuhi air,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Sathiaseelan berkata, arus air lumpur itu mengakibatkan enjin keretanya mati dan dia terkandas di tengah-tengah banjir.

“Saya terus menghubungi bomba memandangkan air sudah di paras pinggang.

“Ketika menunggu bomba tiba, kereta saya terus dihanyutkan arus deras dan saya mulai panik. Saya hanya mampu berdoa agar dapat diselamatkan dari kejadian ini,” katanya.

Katanya, dia tidak berani keluar menyelamatkan diri kerana bimbang risiko lain menimpa dirinya.

“Kini, walaupun sudah terselamat dari kejadian ini, saya masih lagi trauma dan sanggup mengambil jalan yang lebih jauh berbanding jalan ini.

“Terima kasih kepada pihak Bomba dan Penyelamat Tapah yang menyelamatkan saya daripada terperangkap dalam kereta akibat kejadian banjir,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penye­lamat Tapah, R Bala­ratnam berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7 malam kelmarin dan tiba 11 minit kemudian.

Katanya, sebaik tiba, sebahagian kereta mangsa ditenggelami air dan kereta mangsa turut di bawa arus sejauh dua meter.

“Mangsa berjaya dibawa keluar pada jam 7.15 malam, manakala kenderaan mangsa ditolak ke tempat yang lebih tinggi.

“Operasi menyelamat tamat pada jam 7.23 malam dengan kekuatan anggota seramai enam orang,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: