Partime Job

There was an error in this gadget

Wednesday, 18 April 2012

Peniaga derita mahu wajah gebu

ALOR SETAR: Impian seorang wanita mendapatkan kulit wajah cantik dan gebu bertukar tragedi apabila kulit wajahnya rosak dan bertompok serta bengkak selepas menjalani rawatan kulit muka di sebuah pusat kecantikan terkenal di kompleks beli-belah, di sini, tahun lalu menyebabkan dia kerugian RM10,000.

Mangsa, Rohhimi Tam, 46, yang menetap di Pokok Sena, dekat sini berkata, dia terpengaruh dengan iklan di televisyen mengenai rawatan di pusat kecantikan berkenaan yang menawarkan promosi rawatan percuma kepada pelanggan menyebabkan dia berminat untuk mecuba.


Rohhimi berkata, sebagai ahli perniagaan, dia mahu menjaga penampilan wajah supaya lebih cantik walaupun sebelum ini pernah mengunjungi butik kecantikan lain untuk menjalani rawatan muka.

“Saya mengunjungi pusat kecantikan itu pada 7 November tahun lalu dan hanya sekadar mahu bertanya mengenai promosi berkenaan, tetapi pakar kecantikan itu memujuk supaya mengikuti 30 sesi rawatan kulit muka dengan bayaran pendahuluan RM4,000, malah turut menjanjikan kesan yang menarik.


“Pakar kecantikan terbabit memujuk berkali-kali untuk mengikuti rawatan kecantikan di situ menyebabkan saya akhirnya bersetuju untuk menyertai pakej rawatan yang disyorkan dan membayar wang pendahuluan RM4,000.


“Bagaimanapun, selepas sehari menjalani rawatan itu, saya dapati kulit muka keluar jerawat yang banyak dan pergi semula ke pusat itu untuk mendapatkan penjelasan, tetapi kakitangan di situ memaklumkan yang ia perkara biasa, malah kesan parut itu hanya akan hilang selepas menjalani beberapa sesi rawatan yang lain,” katanya.

Rohhimi berkata, belum sempat sesi rawatan pertama selesai, pakar kecantikan terbabit menawarkan pakej promosi rawatan kedua yang bernilai RM6,000 apabila selesai 20 sesi rawatan pertama selepas mendapati kulit mukanya dan bermasalah menyebabkan dia terus bersetuju.


Katanya, sejak itu, dia terpaksa berulang-alik ke pusat kecantikan itu seminggu sekali untuk mendapatkan rawatan dan mendapati kulit wajahnya semakin rosak.

“Apabila bertanya, pakar kecantikan terbabit memberitahu produk mereka sesuai untuk semua jenis kulit dan apa yang saya alami adalah kesan biasa, tetapi apabila mendapati keadaan bertambah teruk, saya terpaksa berhenti menjalani rawatan di pusat berkenaan.


“Bayangkan ketika itu saya terpaksa duduk di rumah, malah tidak dapat bertemu pelanggan kerana malu,” katanya.


Rohhimi berkata, dia membuat aduan di pejabat Persatuan Pengguna Kedah (Cake) untuk membantunya mendapatkan semula ganti rugi berkenaan.


Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail berkata, sebaik aduan diterima, beliau terus menghantar notis kepada pusat kecantikan itu untuk mendapatkan penjelasan lanjut, tetapi sehingga sekarang belum mendapat maklum balas.


Sehubungan itu, katanya, kes berkenaan akan dibawa ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk diselesaikan.


Dalam pada itu, Yusoff berkata, sepanjang tahun ini, beliau menerima 10 kes daripada pengguna yang mengadu mengalami masalah kulit muka selepas menjalani rawatan di pusat kecantikan wajah yang sama.


Sementara itu, pegawai khidmat pelanggan pusat kecantikan terbabit yang hanya dikenali sebagai Vinent berkata, perkhidmatan rawatan wajah yang disediakan di situ tidak menggunakan sinar laser atau suntikan sehingga boleh merosakkan kulit wajah pelanggan.


Beliau berkata, pakar kecantikan di pusat itu juga tidak menggunakan sebarang penggunaan produk yang mengandungi bahan kimia berbahaya kerana pihaknya mengutamakan kesesuaian kulit pelanggan sebelum rawatan dilakukan.


Katanya, berkemungkinan pengadu terbabit (Rohhimi) mempunyai masalah kulit wajah sebelum datang ke pusat kecantikan berkenaan menyebabkan berlaku tindak balas ketika menjalani rawatan di sini.

sumber : hmetro

No comments: