Partime Job

Thursday 12 April 2012

Pasar lama tinggal kenangan


BUKIT PAYONG – Tinggal kenangan, begitulah nasib menimpa bangunan pasar lama, Pekan Kedai Buluh, di sini, selepas bangunan kayu berusia lebih 50 tahun itu akhirnya hilang daripada pandangan apabila ia mula dirobohkan sejak kelmarin.

Walaupun terdapat segelintir penduduk tidak bersetuju bangunan itu dirobohkan namun bangunan usang yang sebelum ini adalah pasar lama Pekan Kedai Buluh itu tetap dirobohkan pihak berkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kedai Buluh, Mohd Nor Omar, 71, tindakan meroboh bangunan kayu itu adalah wajar agar bangunan usang itu tidak lagi mencacati pemandangan Pekan Kedai Buluh.

Menurutnya, selepas pembinaan pasar baru Kedai Buluh menelan belanja lebih RM9 juta siap dibina pada awal 2007 berdekatan bangunan usang itu, kesemua peniaga kemudiannya telah diarah berpindah ke pasar baru sejak tahun lalu.

“Setelah peniaga berpindah, bangunan kayu itu mula terbiar kerana bangunan pasar lama itu tidak lagi beroperasi sebaliknya hanya menjadi tempat penagih dadah berkumpul selain dijadikan sebagai tempat meletakkan kenderaan walaupun ia tidak selamat,” katanya.


Pasar baru lebih selesa

Mohd Nor berkata demikian mengulas dakwaan segelintir penduduk yang menyifatkan pasar lama tersebut seharusnya dipelihara memandangkan ia banyak menyimpan nilai sejarah seiring pembangunan Pekan Kedai Buluh sejak 100 tahun lalu.

Mengulas lanjut Mohd Nor berkata, tidak timbul kerajaan mengabaikan nilai sejarah Pekan Kedai Buluh dengan meroboh bangunan pasar lama itu kerana kemudahan pasar baru lebih selesa telah disediakan kepada peniaga berdekatan kawasan itu.

“Malah, kewujudan pasar baru yang mula beroperasi pertengahan tahun lalu itu memberi banyak manfaat kepada penduduk sekitar selepas kesemua peniaga diarah mengosongkan pasar lama tersebut sejak Mei tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, seorang penduduk Abdullah Mat, 60, ketika ditemui menceritakan sejarah bangunan pasar lama itu berkata, sebelum bangunan kayu itu menjadi tumpuan, hanya ada beberapa gerai buluh beratap nipah terdapat di pasar pekan itu.

Menurutnya, dalam keadaan serba kekurangan gerai tersebut menjadi tempat peniaga bertemu pelanggan dengan menawarkan pelbagai jenis barang keperluan khususnya kuih-muih tradisional seperti nasi dagang, beka dan koleh lemak.


Tempat kuih paling enak di Terengganu

“Kata orang tua dahulu jika ingin mendapatkan makanan tradisional paling enak di negeri ini bolehlah berkunjung ke pasar Kedai Buluh dan keadaan itu masih berterusan sehingga kini. Malah peniaga masih mengekalkan harga paling murah hingga kini.

“Saya berpendapat hanya sebahagian kecil sahaja penduduk yang tidak bersetuju bangunan pasar lama itu dirobohkan. Sebab saya lihat peniaga pasar baru lebih ceria selepas mereka dapat berniaga dengan lebih baik di pasar baru berbanding sebelum ini,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian semalam, juga mendapati kerja merobohkan bangunan dijalankan pihak MBKT selesai sepenuhnya dan keadaan persekitaraan tapak bangunan lama juga lebih bersih berbanding sebelum ini.

sumber : sinarharian

No comments: