Partime Job

There was an error in this gadget

Thursday, 12 April 2012

Kurung suami, ugut cedera anak


KULIM - Hanya kerana cemburu terhadap suaminya, seorang isteri berusia 30-an mengambil tindakan mengunci suaminya dalam bilik dan tidak membenarkan dia keluar bekerja.

Wanita itu turut mengugut mencederakan anak mereka yang berusia 18 bulan menggunakan pisau sekiranya suaminya enggan mendengar arahan.

Bagaimanapun, waris mangsa yang berada dalam rumah ketika kejadian berlaku cuba memujuk wanita itu dan meminta supaya dia meletakkan pisau itu di atas lantai.

Melihatkan keadaan wanita itu yang agresif, waris mangsa mengambil keputusan memegangnya sebelum ditenangkan.

Suaminya berkata, ini merupakan kali keempat isterinya cuba mencederakan anak mereka tetapi dapat diselamatkan. Bimbang diapa-apakan pada masa akan datang, dia dan warisnya menghubungi Balai Polis Kulim untuk bantuan.

“Sebelum ini dia dalam keadaan baik tetapi setelah bersalin, sikapnya berubah dan sering menuduh saya bermain kayu tiga.

“Sebagai seorang peniaga saya harus berjumpa dengan pelanggan atas urusan kerja tetapi isteri saya tidak hiraukan, “ katanya.

Menurutnya, isterinya juga tidak membenarkan dia keluar bekerja dan enggan makan ubat penenang seperti yang diarahkan doktor.

“Ini mengakibatkan isteri tidak sedarkan diri ketika membuat sebarang tindakan yang boleh membahayakan dirinya dan orang lain,” katanya.

Tiga anggota polis yang datang ke lokasi kejadian membawa wanita itu balik ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Dari pemeriksaan dijalankan terhadap wanita itu, polis menemui ubat penenang miliknya di dalam poket dan disahkan pernah menerima rawatan sebagai pesakit jiwa di Hospital Kulim.

Polis kemudiannya membawa wanita itu ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan doktor mengesahkan dia tidak ingat sebarang kejadian yang berlaku di rumah.

Setelah berpuas hati dengan keterangan diberi, doktor kemudiannya mengarahkan wanita itu balik dan memakan ubat mengikut jadual ditetapkan.

sumber : sinarharian

No comments: