Partime Job

Tuesday 3 April 2012

Padah mandi lombong kuari


ALOR GAJAH – Kegem­biraan tiga sahabat warga Nepal yang merancang menghabiskan cuti hujung minggu dengan bermandi- manda berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas di lombong kuari Parit Melana di sini, petang kelmarin.

Bagaimanapun gerakan mencari mangsa melalui kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dan Jabatan Pertahanan Awam Alor Gajah berjaya mengesan mangsa yang ditemui tera­pung pada permukaan air keesokan harinya (semalam).

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, kesemua mereka, Guthras, 24, Hom Kumar, 25, Yam, 28, bermandi manda di lombong berkenaan sebelum dua daripadanya menyedari mangsa, Hom Kumar masih tidak timbul dari permukaan air.

Menurut Guthras, dia hairan apabila mangsa masih tidak timbul di permukaan air 15 minit kemudian dan merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

“Kami mula mandi kira-kira jam 2.30 petang kemudian selepas 15 minit naik semula ke darat namun berasa pelik apabila mangsa masih tidak timbul.

“Disebabkan bimbang, kami terjun semula ke dalam lombong untuk mencarinya, namun usaha kami gagal kerana tidak mampu bertahan lama di dalam air sehinggalah terpaksa memaklumkan kepada penyelia,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, R Bajiyen, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, operasi mencari mangsa dijalankan kira-kira jam 6.30 petang dengan bantuan anggota polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Menurutnya, operasi mencari dijalankan pada jam 6.30 petang dan berakhir pada jam 9 malam, namun terpaksa disambung semalam beriku­-tan hari semakin gelap menyukarkan usaha mengesan mangsa.

Katanya, operasi mengesan semalam berjaya menemui mayat mangsa yang terapung dengan jarak kira-kira 15 meter dari tempat mangsa terjun.

“Tiada sebarang kecederaan dikesan pada anggota badan mangsa dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superin­tendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi semalam mengesahkan kejadian berkenaan.

“Mangsa sudah berkahwin dan mempunyai sepasang anak berusia antara dua hingga lima tahun,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan mana-mana pengurusan syarikat supaya mengawasi pergerakan pekerja dan memastikan keselamatan mereka agar kejadian seumpama ini tidak berulang.

sumber : sinarharian

No comments: