Partime Job

Thursday 5 April 2012

Padah lawan arus jalan

SERDANG - Tindakan nekad seorang lelaki menunggang motosikal dengan melawan arus jalan mengundang padah apabila dia maut bertembung sebuah kereta di kilometer 2.5 Lebuhraya Besraya Sungai Besi Putrajaya di sini, lewat malam kelmarin.

Difahamkan mangsa, Md Israfil Asiruddin Mondol maut serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan dan pendarahan serius di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam itu, mangsa dikatakan menunggang motosikal bersendirian di laluan lebuh raya itu.

Menurutnya, mangsa menunggang motosikal dengan melawan arus di lorong kanan tanpa memikirkan malang bakal menimpa.

“Ketika mangsa menunggang motosikal di bahagian kanan laluan tiga lorong sehala lebuh raya itu kenderaan ditungganginya dipercayai bertembung dengan sebuah kereta jenis Nissan Cefiro.

“Akibat rempuhan kuat, mangsa tercampak ke tepi jalan dan disahkan maut di tempat kejadian. Pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan terperinci dijalankan dan kes dibuka di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Inspektor Mohd Alfian Mohd Zainal di talian 03-80742222 untuk membantu siasatan.

sumber : sinarharian

No comments: