Partime Job

Thursday 5 April 2012

Longkang dipenuhi sisa kilang


BANDAR BENTONG - Penduduk di Taman Chegar Medang, dekat sini, berharap tindakan segera dapat diambil bagi menangani masalah sisa buangan kilang yang dibuang berhampiran kediaman mereka, dekat sini.

Penduduk, Zainudin Abdullah, 50, berkata, sisa buangan daripada kilang itu dipercayai dialirkan terus ke dalam longkang.

Menurutnya, keadaan itu berlaku setiap kali waktu hujan, di mana kilang terbabit dipercayai mengalirkan sisa buangan ke dalam longkang berhampiran rumah penduduk.

“Berdasarkan pemerhatian, ia berlaku sejak kebelakangan ini dan terbaru kelmarin di mana ia menimbulkan kebimbangan penduduk.

“Tambahan pula, sisa buangan berwarna kelabu itu mengeluarkan bau yang busuk hingga mengganggu kehidupan seharian kami,” katanya.

Zainudin berkata, apabila air longkang surut, sisa buangan itu akan melekat di tepi longkang dan menimbulkan keadaan kurang menyenangkan.

Katanya, memandangkan ia berlaku berhampiran rumah penduduk, mereka bimbang ia akan menimbulkan kesan negatif kepada kesihatan dan alam sekitar.

“Apa yang diharapkan masalah ini dapat ditangani segera dan tindakan sewajarnya perlu diambil ke atas kilang yang terlibat.

“Sekurang-kurangnya nasib penduduk di kawasan ini terbela dan tidak terus menanggung akibat daripada masalah yang berlaku,” katanya.

Zainudin berkata, penduduk tidak tahu risiko apa yang bakal dihadapi mereka terutama dari segi kesihatan sekiranya ia dibiarkan berterusan.

Justeru mereka berharap pihak berwajib dapat memberi penjelasan sewajarnya.

Sinar Harian difahamkan wakil daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah datang ke tempat kejadian semalam untuk meninjau masalah yang berlaku selepas menerima aduan penduduk.

sumber : sinarharian

No comments: