Partime Job

Wednesday 4 April 2012

On9Tuition.com, cara mudah kuasai matematik


Di atas kesedaran mengenai masalah pembelajaran matematik yang agak lemah di kalangan pelajar sekolah menengah, sebuah syarikat Bumiputera yang memegang status syarikat Multimedia Super koridor (MSC) dan Teknologi komunikasi dan Informasi (ICT), Aspati Sdn Bhd, menghasilkan sistem pembelajaran mudah bagi menguasai matematik.

Aspati Sdn Bhd menjalankan perniagaan dalam bidang multimedia sejak 14 tahun lalu dengan menghasilkan video korporat untuk syarikat tempatan.

Selain itu, Aspati Sdn Bhd menawarkan perkhidmatan tuisyen secara maya dengan konsep baru dan menjimatkan kos menerusi laman sesawang On9Tuition.com yang dilancarkan Februari lalu.

Syarikat itu diterajui Pengarah Urusan, Hissamuddin Mohd Amin yang pernah menerima Anugerah Usahawan ICT 2003 dari Persatuan Usahawan. Aspati Sdn Bhd yang sebelum ini beroperasi di Putra Height kini telah berpindah ke Kompleks 3C, Taman Bandar Sunway, tahun lalu.


‘Bawa guru balik ke rumah’

Pengarah Pemasarannya, Hasbullah@Zulkifli Shaari berkata, tujuan utama On9Tuition.com ditubuhkan bagi membantu pelajar yang lemah dan kurang berminat dalam mata pelajaran matematik untuk mendapatkan markah cemerlang.

“Teknik belajar matematik cara kacang (BMCK) menerapkan konsep ‘bawa guru balik ke rumah’ menggunakan teknik mudah difahami berbanding cara pembelajaran lain.

“Walaupun menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran, namun penerangan tenaga pengajar dilakukan dalam bahasa Malaysia bagi memudahkan pelajar lebih memahami,” katanya kepada Sinar Harian di pejabatnya, di Petaling Jaya.

Hasbullah berkata, syarikat menggunakan khidmat tenaga pengajar yang mempunyai pengalaman selama 21 tahun dalam subjek matematik yang khusus mengajar tingkatan empat dan lima serta memegang Sarjana Muda Sains Pendidikan (Matematik) dari Universiti Malaya (UM).

Katanya, menerusi BMCK, pelajar boleh membuat latihan dan mengulang video sekerap mungkin mengikut kesesuaian pelajar itu sendiri.

BMCK bukan sahaja sesuai digunakan oleh pelajar, tetapi juga guru sekolah dan sesiapa sahaja yang ingin mempelajari atau berminat dengan matematik.

“BMCK berkesan dan menjimatkan kos perbelanjaan tuisyen ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke pusat tuisyen berbayar.

“Kesemua silibus dalam BMCK pula mengikut silibus yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran,” katanya.

“Pada masa ini, kami hanya fokus pada subjek matematik untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan akan datang bakal menerbitkan mata pelajaran lain.

“Teknik pembelajaran matematik cara kacang ini didatangkan dalam dua versi iaitu dalam talian dan kit DVD,” katanya, yang merakam video tersebut di studio khas, di pejabatnya.

Menurutnya, Aspati lebih menumpukan kepada On9Tuition.com berbanding kit BMCK kerana kit lebih disasarkan kepada pelajar di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai rangkaian Internet.

Katanya, bagi pembelajaran secara talian, pelajar hanya perlu mendaftarkan diri sebelum diberi kebenaran mengakses penuh kepada video yang ditawarkan di laman sesawang dengan harga serendah RM60 bagi tempoh enam bulan.

Manakala, untuk kit DVD dijual dengan harga RM199 yang mengandungi lima set DVD dalam bentuk PDF, 170 video klip, yang mana setiap satu topik durasi penera­ngan mengambil masa lima minit dan jumlah keseluruhan 30 jam meliputi kesemua silibus tingkatan empat dan lima.


BMCK terbukti berkesan

Menurut Hasbullah, bagi menguji tahap keberkesanan BMCK kepada pelajar, Aspati Sdn Bhd telah menguji produk tersebut kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tualang, Temerloh, Pahang.

“Ujian tersebut terbukti meningkat sehingga 80 peratus penguasaan matematik selepas pelajar menggunakan produk BMCK dalam tempoh enam bulan.

“Rata-rata pelajar mendapat markah lebih baik berbanding ujian yang dilakukan sebelumnya,” katanya yang juga mempunyai lesen pengeluaran, penerbitan dan pencetakan dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan dikilangkan di Cheras.

Hasbullah berkata, seiring kecanggihan teknologi, BMCK secara talian juga boleh dipaparkan menerusi ipad dan Android ketika pelajar ingin mengulang kaji pelajaran, sekali gus memudahkan daya akses pelajar.


Perkenal pelajaran baru

Sejak pelancaran bulan lalu, secara purata, Aspati Sdn Bhd telah berjaya menjual 2,000 unit kit BMCK dan On9Tuition.com.

“Pada Mei atau Jun nanti, kami akan mengeluarkan BMCK khas bagi Peperiksaan Menengah rendah (PMR).

“Selain itu, kami dalam perancangan mengeluarkan mata pelajaran lain seperti matematik tambahan dan bahasa Inggeris,” katanya.

Menurutnya, bagi mempelbagaikan produk, Aspati Sdn Bhd berhasrat memperkenalkan lebih banyak lagi produk berasaskan pendidikan pada masa akan datang.

Hasbullah berkata, Aspati Sdn Bhd juga mengalu-alukan mana-mana individu yang berminat menjadi pengedar produk di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak untuk menghubungi syarikatnya.

Selain BMCK matematik, Aspati Sdn Bhd juga menyediakan beberapa video pembelajaran seperti belajar bahasa Arab, foto dan video, ICT serta tips perniagaan secara talian di On9Tuition.com serendah RM30 bagi tempoh enam bulan dan RM50 bagi 12 bulan.

sumber : sinarharian

No comments: