Partime Job

Wednesday 4 April 2012

Bapa lima anak maut lori


SUNGAI BULOH – Panggilan terakhir ketika mahu berehat sebentar selepas penat memandu menjadi petanda bapa anak lima pergi buat selama-lama.

Lori yang membawa muatan roti yang dipandu Tan Kok Siew,47, terbabas lalu melanggar sebuah lori milik kontraktor penyelenggaraan ‘main hole’ di sini, malam semalam.

Kejadian yang berlaku di KM35 Jalan Klang-Teluk Intan berhampiran stesen Petronas Jeram, di sini kira-kira jam 12.15 pagi itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian dada akibat tersepit.

Menurut anak mangsa, Tan Hock Siong, 21, dia tidak menyangka panggilan daripada bapanya yang memaklumkan mahu berehat sebentar di sebuah pekan dari arah Klang menghala Teluk Intan sebelum pulang ke rumah tidak menyangka adalah yang terakhir.

“Selepas panggilan itu, kami sekeluarga menunggu kepulangannya, namun selepas beberapa jam kemudiannya, ada individu memaklumkan bapanya terlibat dalam kemalangan dan dikejarkan terus ke Hospital Tanjong Karang.

“Saya tidak menyangka kejadian ini akan berlaku memandangkan dalam minggu yang sama sebelum ini, bapa pernah terlibat dalam kemalangan di Klang, namun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Kami masih bersedih dengan kehilangan bapa yang menjadi tempat bergantung kepada keluarga memandangkan dua adik masih bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Wah, di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Mayat mendiang dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Fairy Park Meru pada Jumaat ini.

Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kuala Selangor, Inspektor Roslan Ismail berkata, ketika kejadian, tujuh pekerja kontraktor sedang giat membuat kerja penyelenggaraan di hadapan lori sebelum menyedari belakang kenderaan itu dilanggar.

“Siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu lori tiga tan itu dipercayai mengantuk dan melanggar papan tanda amaran serta kon yang dipasang di bahu jalan sebelum melanggar belakang lori.

“Lori yang dilanggar kemudiannya tercampak sejauh tiga meter ke dalam parit berhampiran manakala mangsa dilaporkan tersepit akibat pelanggaran itu dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.20 pagi.

“Siasatan masih dijalankan dan keluarga mangsa setakat ini masih belum tampil membuat laporan polis,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: