Partime Job

Wednesday 4 April 2012

Rasuah RM230, denda RM10,000


AYER KEROH - Seorang peniaga kecil-kecilan di tapak pembinaan dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Rumly Sari, 31, yang juga warga Kemboja, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah memberi rasuah kepada seorang pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen, Ahad lalu, di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Berdasarkan pertuduhan, Rumly didapati secara rasuah memberi suapan wang berjumlah RM230 kepada ejen kerajaan Malaysia iaitu Pegawai Imigresen, Mohammad Fariza Yusoff, 25, yang bertugas di Jabatan Imigresen Melaka.

Suapan bertujuan sebagai dorongan tidak ditangkap kerana berada di negara ini melebihi masa, dilakukan di tapak projek bangunan kedai pejabat, rumah teres di atas sebahagian lot 3045, Mukim Ayer Panas, Bemban, Jasin, kira-kira jam 11.15 pagi pada 29 Mac 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Rumly yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah meringankan hukuman dengan alasan perlu menanggung keluarga termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) berusia 8 bulan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diwakili Pegawai Pendakwa, Mohd Sa’ad Shukor dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Heikal Ismail meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh serta masyarakat.

sumber : sinarharian

No comments: