Partime Job

Wednesday 4 April 2012

MPS didakwa berat sebelah


RAWANG – Tindakan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merobohkan lima gerai penjaja sekitar Bandar Tasik Puteri melahirkan rasa kurang senang pemiliknya apabila mereka mendakwa pihak berkuasa tempatan itu bersikap berat sebelah.

Peniaga, Jais Mijo mendakwa MPS tidak merobohkansemua gerai terlibat sebaliknya hanya melibatkan gerai peniaga kecil-kecilan seperti penjual nasi lemak dan burger sedangkan peniaga kedai makan berhampiran kawasan kedainya tidak mengalami nasib sama.

Menurutnya, dia mengakui menerima notis makluman perobohan dua minggu lalu, namun tidak langsung mengetahui bahawa penjaja diberikan tempoh sebulan membuat rayuan permohonan cadangan tapak baru.

“Kami hanya mengetahui rayuan tersebut daripada penguatkuasa yang merobohkan gerai bahawa terdapat pengecualian kepada segelintir penjaja apabila diberikan tempoh lanjutan cadangan permohonan tapak baru.

“Mengapa kami tidak dimaklumkan tentang tempoh lanjutan itu sedangkan kami juga merupakan peniaga di situ walaupun hanya meniaga pada waktu pagi antara jam 7 hingga 10 sahaja,” katanya selepas kerja perobohan dilakukan.

Katanya, MPS memaklumkan tujuan perobohan dibuat untuk penyusunan semula penjaja supaya ditempatkan di medan selera baru namun usaha itu tidak akan mencapai matlamat sekiranya kerja perobohan tidak dilakukan secara menyeluruh.

“Kami yang hanya berniaga secara kecil-kecilan dengan pendapatan kurang RM50 sedangkan peniaga lain yang boleh menjana pendapatan sehingga RM500 satu hari dibenarkan beroperasi seperti biasa.

“Kami tidak mungkin berniaga di medan selera baru kerana kadar sewa tinggi sebanyak RM400 tidak termasuk modal menyediakan meja dan kerusi serta bayaran bil air dan elektrik sedangkan hanya berniaga nasi lemak sahaja,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MPS, Mohamad Zain A Hamid ketika dihubungi memaklumkan rayuan permohonan tapak baru dimaklumkan kepada wakil penjaja dan persatuan.

Menurutnya, terdapat salah faham berkenaan perkara itu apabila terdapat dua pihak yang mendakwa mewakili keseluruhan penjaja yang bersetuju membuat permohonan tapak baru malangnya perkara tersebut tidak disampaikan kepada penjaja.

“Kami telah mengadakan beberapa pertemuan bersama wakil penjaja dan bersetuju memberikan peluang kepada mereka untuk membuat permohonan tapak baru dalam tempoh sebulan tetapi sehingga kini belum menerimanya.

“Disebabkan kegagalan wakil penjaja itu menghantar permohonan, suatu mesyuarat akan di buat membabitkan ahli majlis, Ahli Parlimen dan Adun untuk membincangkan perkara itu sebelum apa-apa tindakan susulan di buat,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: