Partime Job

There was an error in this gadget

Monday, 2 April 2012

Menara jam Mekah terima sentuhan 18 anak muda Malaysia


KUALA LUMPUR - Malaysia tidak tandus anak muda berbakat yang dihargai dunia luar dan antara buktinya dapat dilihat pada Menara Hotel Jam Diraja Mekah atau Abraj Al-Bait yang mendapat sentuhan 18 anak muda negara ini.

Seorang daripada mereka ialah Hairul Nizam Baharuddin yang merupakan pengurus projek di Syarikat Premier Composite Technology yang berpangkalan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.

Hairul Nizam berkata, semua anak Malaysia terbabit mahir dan berpengalaman daripada segi kejuruteraan binaan dan terlibat sepenuhnya dalam kerja pemasangan menara jam tersebut.

"Ini termasuk kerja pemasangan replika bulan sabit pada menara jam yang terletak berhadapan Masjidil Haram," kata anak kelahiran Melaka ketika ditemui sewaktu pulang bercuti baru-baru ini.

Katanya, semasa proses pemasangan bulan sabit, berlaku tiupan angin kencang dan pada masa itu ada enam anak buahnya sedang melakukan kerja pemasangan di ketinggian 500 meter dari tanah.

"Dalam keadaan itu, kabel yang membawa bahagian bulan sabit berpusing-pusing dan kita boleh agak kabel boleh putus. Keadaan sangat panik tetapi ada seorang anak buah saya yang lebih berpengalaman, berjaya mengawal keadaan dan pemasangan tersebut berjalan lancar," katanya.

Hairul Nizam berkata, pembinaan menara jam itu menggunakan bahan komposit iaitu sejenis fiber dan tidak banyak syarikat yang mempunyai kepakaran serta teknologi mengenai bahan tersebut selain kosnya yang tinggi.

"Komposit ini satu bahan fiber yang berstruktur kukuh tetapi ringan, tahan lama dan tidak mudah bocor serta ia boleh bertahan sehingga 20 tahun tanpa sebarang penyelenggaraan berbanding aluminium yang murah dan berkemungkinan berlaku kebocoran dalam tempoh dua atau tiga tahun," katanya.

Katanya, di Malaysia terdapat beberapa buah kubah masjid yang dibina menggunakan bahan tersebut iaitu Masjid Putrajaya, Masjid Wilayah dan Masjid Al-Bukhari, Kedah.

"Memang membanggakan kerana dapat bersama tenaga pakar lain melakar sejarah di tanah suci," katanya.

sumber : kosmo

No comments: