Partime Job

Wednesday 4 April 2012

Lynas sedia mula operasi tiga minggu lagi

KUANTAN – Lynas Malaysia Sdn Bhd bersedia memulakan operasi dalam masa tiga minggu lagi, jika Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) menyerahkan lesen operasi sementara dalam masa terdekat.

Pengarah urusannya, Datuk Mashal Ahmad berkata, pihaknya memerlukan lesen operasi sementara itu secepat mungkin bagi membawa masuk bahan mentah daripada Australia ke kilang itu.

“Kalau ikutkan perancangan, kita sudah bersedia memulakan operasi dalam masa tiga minggu lagi, pun begitu kita masih menanti penyerahan lesen operasi sementara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ketua Pegawai Operasi Lynas Corp Australia, Eric Noyrez di pejabat Lynas Advanced Materials Plant (LAMP), semalam.

Hadir sama, Penasihat Keselamatan Radiologi Lynas Malaysia, Profesor Dr Ismail Bahari dan Pengurus Besar Kilang, Khairul Salleh Jais.

Tambahnya lagi, fasa pertama kilang itu sudah siap dan kini menunggu fasa kedua dijangka siap menjelang awal tahun depan.

“Kita yakin dengan projek ini kerana semua syarat ditetapkan pihak AELB telah dipenuhi dengan sempurna.

“Apa yang kita perlukan sekarang, lesen operasi sementara itu bagi membuktikan kepada orang ramai segala maklumat dikemukakan sebelum ini sama dengan apa yang dijalankan,” katanya.

Mashal berkata, pihaknya tidak menghalang mana-mana organisasi membawa pakar untuk memantau operasi kilang itu selepas mula beroperasi.

“Tiada apa yang kami rahsiakan, mana-mana pihak yang ingin tampil membawa pakar, kami tidak menghalang,” katanya.

Sementara itu, Mashal turut mengalu-alukan jemputan daripada Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) untuk memberikan keterangan berikutan isu Lynas yang menjadi bualan orang ramai.

“Kerajaan telah menubuhkan PSC dan kita tidak pernah membantah, malah bersedia memberikan kerjasama pada bila-bila masa.

“Kita harap PSC akan memanggil Lynas secepat mungkin untuk memberikan keterangan kerana kita akan memulakan operasi tidak lama lagi,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: