Partime Job

There was an error in this gadget

Thursday, 5 April 2012

Kedai makan hangus jadi arang dalam 5 minit

KUALA TERENGGANU – “Api sangat marak hingga dalam tempoh lima minit kedai makan ranap dan yang tinggal hanya arang,” kata suri rumah, Shuazlida Abdullah, 31, yang terkejut apabila melihat kedai makan di Padang Kemunting dekat sini, tempat ibu dan bapa tirinya mencari rezeki, terbakar dalam kejadian jam 11.30 pagi, Sabtu lalu.

Katanya, lebih mengejutkan kebakaran berkenaan terjadi hanya dalam tempoh 10 minit selepas adik tirinya, Norhidayu Ahmad, 23, menutup kedai yang diperbuat daripada kayu.

Gara-gara musibah berkenaan, ibunya, Zaiton Husin, 52, dan bapa tirinya, Ahmad Salleh, 50, kerugian kira-kira RM25,000 kerana kedai dan harta benda gagal diselamatkan serta hangus dalam kebakaran.

Barangan yang musnah termasuklah peti ais, enam biji dapur gas, empat tong gas, dua kipas, radio kaset, 10 periuk dan banyak lagi peralatan lain termasuk kerusi serta meja makan.

Menurut Shuazlida yang tinggal di kampung bersebelahan iaitu Kampung Jong Berlabuh, kejadian itu disedari jiran yang tinggal di belakang kedai makan ibu dan bapa tirinya itu sebelum pasukan bomba dihubungi.

“Saya mendapat tahu kedai makan mak terbakar ketika berada di rumah. Jarak antara rumah saya dengan kedai makan kira-kira 500 meter dan pada waktu itu juga asap berkepul naik ke udara.

“Mak mula membuka kedai makan itu 11 tahun lalu dan menjual makanan pagi dan kuih muih, namun kini semuanya musnah,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, ibu saudara Shuazlida, Rosnah Husin, 44, yang segera bergegas ke kedai makan berkenaan apabila diberitahu kejadian itu berkata, akibat kedai berkunci, barang di dalam kedai tidak dapat diselamatkan sementara penduduk kampung berusaha menyimbah air bagi memadamkan kebakaran.

“Saya sedang memasak ketika diberitahu kejadian berkenaan. Ketika saya sampai separuh bahagian kedai musnah.

Api sangat marak. Ia berlaku dalam sekelip mata,” katanya.

Sementara itu, menurut Ahmad, ketika kebakaran berlaku dia bersama isterinya pergi ke bandar dan mengakui terkejut apabila melihat kedai makannya musnah sama sekali dan yang tinggal hanya sisa atap.

“Menurut bomba, kebakaran berpunca daripada litar pintas. Saya sekeluarga reda dengan ujian ini dan kami berhajat mendirikan kedai yang baru sekiranya tuan tanah tapak kedai masih memberi kebenaran,” katanya.

Bagi yang simpati akan nasib Ahmad sekeluarga dan mahu menghulurkan bantuan boleh menghubunginya menerusi talian 013-7951263.

sumber : sinarharian

No comments: