Partime Job

Thursday 5 April 2012

Jangan hina Sultan Pahang


CHENOR - Golongan muda dalam Mukim Bukit Segumpal, dekat sini, mendesak sekumpulan penyokong bola sepak memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah kerana bertindak mengeluarkan kenyataan berbaur provokasi dan biadab terhadap baginda, baru-baru ini.

Pengerusi Persatuan Belia 4B Kawasan Maran, Azman Abdul Rafar berkata, kenyataan kumpulan terbabit disifatkan sebagai satu penghinaan kepada Sultan Pahang selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurutnya, tiada halangan jika kumpulan penyokong itu mahu mengeluarkan sebarang kenyataan, namun ia perlu dilakukan secara berhemah dan bukan mengikut emosi semata-mata.

“Apabila anda melontarkan kata-kata kesat kepada orang lain, ia adalah perlakuan biadab.

“Sebagai rakyat negeri ini, kami mendesak kumpulan berkenaan memohon maaf secara terbuka dan kami setia bersama Sultan Pahang,” katanya kepada Sinar Harian.

Kumpulan penyokong itu didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepada Sultan Pahang berhubung keputusan badan induk tersebut yang menetapkan timbalannya, Tan Sri Annuar Musa dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin FAM, semalam.

Ia berikutan tindakan Annuar yang didakwa secara terbuka mengkritik prestasi skuad kebangsaan di bawah kendalian Datuk K Rajagobal kepada media.

Seorang belia dari Kampung Bukit Lada, Mohd Nor Azanizam Mat Deris berkata, kenyataan tidak bertanggungjawab kumpulan penyokong tersebut menunjukkan mereka tidak menghormati Sultan Pahang.

Menurutnya, perkara itu dibimbangi akan berlarutan sehingga sesiapa sahaja akan mengeluarkan kata-kata kurang sopan membabitkan institusi diraja.

sumber : sinarharian

No comments: