Partime Job

Wednesday 18 April 2012

Kanak-kanak lemas dijumpai dalam lubang takungan air

TANAH MERAH- Seorang kanak- kanak berusia tiga tahun maut dipercayai terjatuh dalam lubang takungan milik jiran dalam kejadian di Kampung Banggol Kamunting jam 6.30 petang kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa Mohd Hakimi,3, diawasi bapanya, Che Rasyid Yaakob,43, bermain di halaman rumah, sebelum berseorangan ke bahagian belakang rumah lalu terjatuh dalam takungan tersebut.

“Tidak sampai 20 minit arwah hilang dari padangan mata dan menyedari kehilangannya bila kesemua anak ada dirumah dan bersiap-siap untuk mandi. Bimbang dengan keadaan tersebut saya, isteri dan anak saudara mencari Hakimi disekitar kawasan rumah namun tidak dapat dikesan,”katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui dekat rumahnya semalam.

Che Rashid yang bekerja sebagai penoreh getah berkata, akhirnya mayat anak bongsu daripada enam beradik itu ditemui dalam lubang takungan air buangan sedalam empat meter oleh sepupunya, Dali Mohd Noor, 26.

Katanya, kelakuan anaknya itu agak berlainan pada hari kejadian apabila tidak menghiraukan ibunya yang baru pulang dari kerja yang ke kedai berhampiran untuk membeli biskut dan susu kegemaran arwah.

Dali ketika ditemui berkata, apabila menerima berita kehilangan Hakimi, dia terus mencari di kawasan tersebut memandangkan ia kawasan yang bahaya kepada kanak-kanak.

“Saya hanya agak-agak sahaja kerana merasakan ada yang tidak kena, kayu panjang yang digunakan untuk melihat keadaan dalam lubang takungan tersangkut pada benda berat.

Saya ingatkan sampah rupanya mayat mangsa yang kemudiannya terapung dipermukaan air,”katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Rohani Samad, 37, yang masih bersedih dengan kejadian itu terkilan kerana anak bongsunya tidak sempat menjamah biskut dan susu kegemarannya yang dibeli sebelum kejadian.

Rohani yang bekerja sebagai tukang sapu di salah sebuah sekolah rendah dekat Jalan Klinik berkata, sebelum ini anaknya tidak pernah bermain di kawasan lubang takungan air buangan tersebut.

Menurutnya, tiada sebarang perubahan atas diri mangsa sebelum kejadian kerana dia masih kecil dan sering bermain di halaman rumah pada waktu petang.

“Arwah tidak pandai bercakap hanya tahu menyebut abah dan emak sahaja.

Kehilangannya amat dirasai kami sekeluarga kerana dia anak yang manja.

“Saya tidak menyangka arwah menemui ajal di situ, memang tempat tersebut bahaya kepada kanakkanak kerana agak dalam lebih-lebih tiada pagar pengadang,”katanya.

Rosnani berkata, jenazah anak bongsunya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tanah Merah jam 11.30 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Abd Aziz Mahmud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

sumber : sinarharian

No comments: