Partime Job

Thursday 19 April 2012

Kaji subsidi tepung 25kg

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia mengkaji semula subsidi diberikan kepada pengusaha dan pengimport tepung gandum kegunaan 25 kilogram (kg) sesuai dengan implikasinya kepada pembeli dan pengguna sekali gus membolehkan dinikmati semua pihak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini perkara itu dalam peringkat akhir kajian dan satu memorandum akan dibentangkan ke Kabinet dalam masa terdekat.


Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira impak kepada pengguna hasil subsidi diberi kerajaan kerana hanya pengusaha dan syarikat besar mendapat manfaat berdasarkan pengiraan dibuat kementerian.

“Seperti isu gula dulu, kami buat semakan dan mendapati tidak memberi manfaat kepada pembeli, sebab itu kami kaji semula. Masalah tepung ini kami akan beri perhatian untuk kepentingan semua,” katanya selepas menerima memorandum desakan menghapuskan subsidi itu oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini, semalam.


Hadir sama Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dan Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk George Joseph.


Katanya, ketika ini, harga tepung dijual RM1.35 sekilogram dan daripada jumlah itu, subsidi ditanggung kerajaan 55 sen menjadikannya RM13.75 bagi setiap 25kg.

Mengulas memorandum itu, beliau berkata, kementerian menerimanya sebagai luahan persatuan pengguna dan akan diteliti di peringkat Kabinet sebelum keputusan muktamad dibuat.


“Kami terima memorandum ini dan akan buat keputusan mengenainya. Ia membabitkan pengguna dan pengusaha, jadi mesti kaji impak kepada peniaga seperti mi kuning, bahan makanan lain.

“Ini soal harga yang memberikan kesan kepada perkara lain terutama makanan. Kalau harga tepung naik, sudah tentu harga makanan turut naik, ini yang kami kena kaji,” katanya.


Dalam pada itu, Nadzim Johan berkata, pihaknya berharap tindakan segera mengenai harga subsidi itu akan membantu pengguna menikmati kadar sepatutnya dan tidak hanya diagihkan kepada syarikat besar saja

sumber : hmetro

No comments: