Partime Job

Tuesday 3 April 2012

Insentif gaji warga emas

KUALA LUMPUR: Pemberian insentif khas kepada majikan yang menggajikan pekerja di kalangan warga emas antara langkah berkesan boleh difikirkan kerajaan untuk memastikan nasib golongan berkenaan sentiasa terbela selepas bersara.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, mengambil kira beberapa negara yang sudah melaksanakannya termasuk Singapura, inisiatif berkenaan mampu menjamin kebajikan golongan terbabit untuk meneruskan kehidupan, apatah lagi dengan kos hidup yang semakin meningkat.


“Ini persoalan yang perlu difikirkan kerajaan bagaimana nak meningkatkan usia pekerjaan sebelum seseorang itu bersara dan dengan menggunakan sistem perundangan negara, ia membolehkan pekerja berkhidmat dalam jangka masa lebih panjang.

“Kesedaran tinggi dalam kalangan majikan juga dapat memastikan peluang sentiasa ada kepada golongan yang sudah bersara dan dalam situasi ini, kerajaan boleh memberikan insentif khas kepada majikan yang menggunakan khidmat warga emas terbabit,” katanya.


Beliau berkata demikian sejurus merasmikan seminar antarabangsa dihadiri 330 peserta dalam dan luar negara bertemakan ‘Evolusi Dinamik Dunia Pencen’ anjuran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Hotel Le Meridien, di sini, semalam.


Seminar dua hari itu bertujuan menangani perkembangan terkini dan cabaran yang dihadapi dalam peruntukan pendapatan persaraan kesan daripada perubahan ekonomi global, demografi, landskap politik dan sosial sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penambahbaikan Lembaga KWSP, Tan Sri Lee Lam Thye, Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Ibrahim Taib dan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Tan Sri Dr Ghauth Jasmon.


Pada majlis berkenaan, KWSP menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan UM bagi menubuhkan Pusat Penyelidikan Keselamatan Sosial di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM membabitkan peruntukkan dana berjumlah RM2.5 juta.

Subramaniam berkata, mengambil kira usia warga emas yang semakin meningkat daripada 58 kepada 75 tahun ketika ini menyebabkan keperluan untuk mengguna khidmat golongan itu dalam pasaran buruh semakin mendesak.


“Ini antara perkara yang boleh dikaji terutama bagaimana kerajaan boleh menambah peratusan warga emas dalam guna tenaga di pasaran buruh. Bagaimana nak tangani isu dan masalah yang wujud dengan peningkatan umur rakyat meningkat kepada 75 tahun sekarang ini.


“Selain itu, kerajaan perlu mencari langkah tertentu untuk memperkukuhkan sistem pencen dan pendapatan diperoleh rakyat pada masa sekarang. Kalau tidak isu kemiskinan dalam kalangan warga emas akan bertambah teruk,” katanya

sumber : mymetro

No comments: