Partime Job

Tuesday 3 April 2012

Ahli’ kelab fotografi tahan pasangan Jerman

PORT DICKSON: Taktik jabatan imigresen menyamar sebagai ahli kelab fotografi untuk ‘mengumpan’ pasangan suami isteri warga asing yang mengusahakan perkhidmatan bot katamaran tanpa permit membuahkan hasil apabila kedua-dua mereka ditahan dalam satu operasi di sebuah marina bot mewah di bandar peranginan ini, kelmarin.

Operasi dilakukan sepasukan enam pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Negeri Sembilan diketuai Pengarahnya, Faizal Fazri Othman yang terlebih dulu menaiki kapal berkenaan di jeti sebuah hotel, bermula kira-kira jam 6 petang.


Wartawan dan jurugambar akhbar ini yang turut menyertai operasi itu kemudian dibawa lelaki warga Jerman serta wanita Filipina berusia 30 dan 40-an berkenaan menuju ke tengah laut untuk menikmati pemandangan termasuk merakam gambar matahari terbenam.

Sejurus selesai dua jam pelayaran, pihak berkuasa melakukan pemeriksaan lanjut terhadap pasangan itu yang didapati menggunakan pas lawatan sosial tamat tempoh.


Menurut Faizal, operasi dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan pasangan itu menjalankan perniagaan berkenaan tanpa kelulusan.


“Siasatan mendapati mereka melakukan beberapa kesalahan imigresen dan Jabatan Laut.

“Pasangan warga asing itu kerap keluar masuk ke Malaysia sejak hampir dua tahun lalu, dipercayai untuk memperbaharui pas lawatan sosial bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan berkenaan.


“Bagaimanapun, pas berkenaan tidak diperbaharui sejak Disember lalu, bermakna mereka berada di negara ini secara haram,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, dua warga asing itu ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng bagi membantu siasatan.


“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 15(4) Akta Imigresen manakala bot katamaran milik lelaki berkenaan disita untuk tindakan lanjut,” katanya.


Difahamkan, Jabatan Laut turut menjalankan siasatan mengenai tindakan pasangan itu yang menyediakan perkhidmatan tanpa permit dan membawa penumpang ke laut pada waktu malam.

sumber : mymetro

No comments: