Partime Job

Thursday 19 April 2012

Gempar siling klinik runtuh

KUALA LUMPUR: Sebuah pusat kesihatan komuniti di Jinjang, di sini, gempar apabila siling beberapa bahagian bangunan itu runtuh berikutan hujan lebat petang semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, tiada kecederaan dilaporkan berikutan tindakan pantas kakitangan klinik mengosongkan bangunan sebaik saja terdengar bunyi bising di bahagian siling itu.


Menurut saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Arif, 40, berkata, ketika kejadian, ada kira-kira 10 pesakit menunggu giliran di ruang menunggu klinik berkenaan.

“Tiba-tiba terdengar bunyi sangat bising datang dari bahagian siling seperti sesuatu akan runtuh dan petugas klinik mengarahkan semua yang berada di dalam bangunan keluar.


“Kira-kira 10 minit selepas itu, siling di bahagian menunggu serta dua bilik runtuh berserta dengan air yang sangat banyak mengakibatkan peralatan termasuk ubat-ubatan rosak,” katanya.


Saksi terbabit turut berkata, mujur tiada sesiapa mengalami kecederaan berikutan tindakan pantas kakitangan mengosongkan bangunan.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang, Rosli Haris ketika ditemui di tempat kejadian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.20 petang dan tiba di 10 minit kemudian.


“Semasa tiba, kami dapati bangunan telah pun dikosongkan dan terdapat tiga bahagian yang rosak teruk akibat runtuhan berkenaan iaitu ruang menunggu, bilik menyimpan ubat serta satu daripada bilik rawatan.

“Hujan lebat selama beberapa hari ini dipercayai menjadi punca siling berkenaan runtuh selepas tidak lagi mampu menampung air yang bertakung kemungkinan akibat terdapat kebocoran di bahagian bumbung,” katanya

sumber : hmetro

No comments: