Partime Job

Monday 16 April 2012

Gaji minimum diumum 30 April, MEF harap diberi 3 tahun

SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berharap gaji minimum yang akan dilaksanakan tahun ini, dengan kadarnya dipercayai sekitar RM900 hingga RM1,000, akan dikuatkuasakan secara berperingkat-peringkat sepanjang satu tempoh selama tiga tahun demi kepentingan majikan dan syarikat.

Selain itu, MEF juga berharap kerajaan akan mengecualikan syarikat-syarikat kecil dan sederhana daripada terikat dengan gaji minimum bagi mengelakkan masalah besar apabila ia dilaksanakan kelak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual mengumumkan kadar gaji minimum pada 30 April ini, sehari sebelum sambutan Hari Pekerja.

Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan melahirkan dua perkara itu ketika ditanya mengenai harapan pihaknya menjelang pengumuman gaji minimum pada akhir bulan ini.

"Kami berharap dasar gaji minimum ini akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan juga diberi pengecualian kepada syarikat-syarikat kecil agar tidak membebankan mereka apabila gaji minimum dikuatkuasakan," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Sinar Harian Online difahamkan ucapan Najib, yang akan mengandungi kadar gaji minimum, akan disiarkan secara langsung dari Putrajaya pada sebelah malam 30 April lalui.

Secara tradisi, Perdana Menteri akan mengeluarkan perutusan sempena Hari Pekerja pada 30 April setiap tahun.

Awal bulan ini, Najib berkata, beliau akan mengumumkan keputusan kerajaan tentang dasar gaji minimum pada akhir bulan ini.

Pengumuman mengenai kadar gaji minimum telah dinanti hampir setahun.

Shamusuddin enggan berkongsi kadar yang disyorkanoleh Majlis Perundingan Gaji Negara, yang dibentuk tahun lalu.

Difahamkan majlis itu telah mengesyorkan gaji minimum antara RM750 hingga RM900, mengikut zon Semenanjung, Sabah dan Sarawak, untuk pertimbangan kerajaan.

Kabinet akan memutuskan kadar mutlak berdasarkan syor yang dibuat oleh majlis tersebut.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, pihaknya berharap pertambahan kadar gaji ekoran penetapan gaji minimum akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, kemungkinan pada nisbah 30:30:40 agar majikan tidak merasai implikasi kos.

"Misalnya, katakan kerajaan hendak menambah RM400, tambahan kepada gaji semasa RM600. Maka, MEF berharap pertambahan ini akan dilaksanakan secara beransur-ansur sehingga mencapai RM1,000 dalam tempoh tiga tahun, bukannya secara sekali gus pada tahun pertama," kata beliau lagi.

"Bermakna seseorang pekerja yang terlibat dalam pelaksanaan ini akan menerima kenaikan 30 peratus pada tahun pertama, 30 peratus lagi pada tahun kedua dan seterusnya 40 peratus pada tahun ketiga... MEF berharap pandangan ini akan diterima," katanya lagi.

Shamsuddin berkata, pihaknya juga berharap kerajaan akan mengecualikan syarikat dan majikan bersaiz kecil supaya mereka tidak merasai beban pelaksanaan dasar ini.

Kini terdapat sekitar 800,000 majikan di seluruh negara - satu angka berdasarkan pendaftaran di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Daripada jumlah itu, hampir 480,000 adalah syarikat yang aktif kerana berdaftar dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

"Daripada jumlah ini, 98 peratus adalah syarikat kecil dan sederhana, dengan 250,000 mempunyai pekerja kurang 10 orang," kata Shamsuddin lagi.

sumber : sinarharian

No comments: