Partime Job

Thursday 19 April 2012

Empat pengawal keselamatan lesapkan RM80,000

JOHOR BAHRU - Empat pengawal keselamatan yang melakukan pecah amanah dengan melarikan RM80,000 milik pusat beli-belah ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di sini, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, kesemua mereka yang berkhidmat sejak lima bulan lepas itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari selepas polis menerima maklumat berhubung kejadian daripada pengurusan pusat beli-belah terbabit, beberapa jam sebelum itu.

“Kesemua mereka sudah diminta oleh pusat beli-belah itu untuk mendepositkan wang bernilai RM79,363 ke sebuah bank di kawasan Nusajaya pada 9 April lepas.

“Bagaimanapun, pengurusan pusat beli-belah itu mendapati duit berkenaan tidak didepositkan selepas bank tersebut memaklumkan kepada mereka, Jumaat lepas,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya, di sini, semalam.

Noor Hashim berkata, pihaknya hanya menemui RM31,000 daripada kesemua wang tunai RM79,363 berkenaan dengan duit itu dipercayai telah digunakan oleh salah seorang daripada empat lelaki yang ditahan untuk melangsaikan hutang, hasil pemeriksaan di rumah terbabit.

Menurutnya, keempat-empat pengawal keselamatan terbabit tidak mempunyai rekod jenayah, namun ujian air kencing salah seorang daripada mereka didapati positif ganja.

“Kesemua mereka yang berumur 22 hingga 27 tahun itu kini direman sehingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noor Hashim berkata, pihaknya berjaya menumpaskan kumpulan samun berkawan dan curi kenderaan di sekitar Nusajaya selepas menahan sembilan lelaki di sebuah restoran di Taman Nusa Bestari, di sini, Ahad lalu.

Katanya, pasukan khas yang ditubuhkan untuk memberkas kumpulan terbabit berjaya merampas Proton Perdana V6 dan Proton Iswara yang dipercayai dicuri, dua motosikal dan parang panjang yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah terbabit.

“Hasil siasatan polis mendapati kumpulan ini aktif sejak enam bulan lepas dan terlibat dengan sembilan kes samun berkawasan di sekitar Nusajaya. Modus operandi mereka adalah masuk ke dalam rumah mangsa dan mengacukan parang bagi menakutkan mangsa sebelum mengambil barang berharga serta kereta,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: