Partime Job

Friday 13 April 2012

Cemas dapur ditimpa pokok


KUALA KRAI - Sebuah keluarga berdepan saat cemas apabila rumah mereka di Guchil 7 Luar, dekat sini, dipukul ribut hingga bahagian dapur rosak teruk selepas ditimpa pokok tumbang, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang berlaku ketika isteri dan dua anak kepada seorang kakitangan Pejabat Kesihatan daerah, Wan Mohd Zulkifli Wan Mohd Noor, 35, berada di ruang tamu rumah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Guchil, Mohamed Ashri Yusof berkata, Wan Mohd Zulkfili pula tidak ada di rumah kerana sedang bertugas di Klinik 1Malaysia, dekat Sungai Durian, ketika kejadian.

“Tiga beranak yang berada dalam rumah waktu kejadian bernasib baik kerana duduk di ruang tamu apabila pokok dokong di belakang rumah mereka tumbang dan menghempap bahagian dapur.

“Selain zink rosak dan kayu bumbung yang baru ditukar patah, dahan pokok juga merosakkan talian elektrik di rumah mereka,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada keluarga itu, semalam.

Mohamed Ashri berkata, dia tahu mengenai kejadian selepas dimaklumkan Wan Mohd Zulkifli yang datang ke rumahnya bagi memohon bantuan sejurus selepas kejadian.

“Dia datang selepas Maghrib dan pagi esoknya, saya cari orang untuk tebang pokok tumbang dan hubungi Penyelaras Dun Guchil, Tuan Aziz Tuan Mat bagi memaklumkan kejadian ini,” katanya.

Menurutnya, Tuan Aziz kemudian meluluskan bantuan segera bahan binaan termasuk zink dan kayu bumbung bagi membaiki kerosakan pada dapur rumah keluarga berkenaan.

“Beliau (Tuan Aziz) beritahu saya, bantuan perlu diberikan segera bagi keselesaan keluarga ini, lebih-lebih dalam keadaan cuaca sekarang yang sering hujan terutama sebelah petang,” katanya

sumber : sinarharian

No comments: