Partime Job

Friday 13 April 2012

kain perca jadi rumah


KUBANG SEPAT – Pihak Penggawa Kubang Sepat meragui tarikh dan masa, Rohana Mohd, 48, tinggal di bangsal yang ditutupi dengan hanya menggunakan kain perca.

Penggawa, Mohd Yuzaiman Yunus berkata, Rohana didapati bermastautin di Pengkalan Chepa dan hanya berpindah di Kubang Sepat, awal April lalu.

Menurutnya, setelah diselidiki, sebelum digunakan oleh Rohana, bangsal berkenaan dipercayai diduduki oleh seorang tukang rumah.

Katanya, penduduk yang juga jemaah di Masjid Tendong juga, tidak pernah terserempak dengan Rohana, sepanjang Mac lalu.

“Ada yang memberitahu kami, Rohana dan anak-anak baru sahaja berpindah di sini, beberapa hari sebelum disiarkan Sinar Harian keluaran 9 April lalu.

“Kami juga terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh akhbar tempatan dengan meletakkan kesalahan di bahu pihak kami semata-mata,” katanya, selepas melawat keluarga Rohana, semalam.

Turut hadir, penghulu kampung, Bilal Masjid dan Majlis Agama Islam Kelantan (Maik).

Beliau berkata, pihak berkenaan sepatutnya perlu menyelidiki perkara tersebut terlebih dahulu, sebelum membuat kenyataan yang boleh menjatuhkan kewibawaan pemimpin di sini.

Menurutnya, penduduk juga tidak wajar meletakkan peranan, dalam membantu masyarakat yang tidak bernasib baik di bahu pentadbir sahaja.

“Penduduk seharusnya berganding bahu, untuk membantu mengurangkan beban penduduk yang miskin, dan melaporkan kepada pihak berkenaan dengan segera.

“Penglibatan penduduk, bukan sahaja dituntut agama, malah akan menjadikan kampung ini bebas kemiskinan tegar,” katanya.

Pihak Ketua Jajahan Pasir Mas juga sudah dimaklumkan mengenai kepayahan yang dihadapi Rohana, dan tindakan lanjut akan diambil tidak lama lagi.

sumber : sinarharian

No comments: