Partime Job

There was an error in this gadget

Friday, 13 April 2012

Angkara mat motor, bas terbabas


GEORGETOWN - Akibat mengelak daripada melanggar seorang penunggang motosikal, sebuah bas kilang terbabas lalu merempuh sebuah kedai kitar semula di Jalan Paya Terubong, Ayer Itam di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, pemandu bas kilang itu dikatakan baru selesai menghantar pulang pekerja di kawasan perumahan mereka di Paya Terubong dan ia pula dalam perjalanan pulang ke stor simpanan bas.

Namun ketika menuruni bukit di jalan Tingkat Paya Terubong, pemandu bas berkenaan difahamkan cuba mengelak dari melanggar penunggang motosikal yang secara tiba-tiba masuk ke laluannya lalu merempuh dua kenderaan lain sebelum melanggar bahagian depan kedai berkenaan.

Akibat kejadian itu, pemandu bas berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat terkena serpihan kaca cermin bas.

Rempuhan kuat itu turut merosakkan bumbung sebuah rumah kedai yang terletak bersebelahan dengan premis kitar semula.

Penunggang motosikal dan dua pemandu kereta terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap polis berkata, hanya pemandu berusia 40-an itu mengalami kecederaan di kepala dan dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Menurutnya, ketika kejadian, premis terbabit tidak mempunyai pekerja dan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan akibat rempuhan bas berkenaan.

Sementara itu, pengusaha kedai kitar semula, R Anita, 32, terkejut sebaik dimaklumkan mengenai kejadian yang hampir meranapkan premis yang beroperasi sejak tujuh tahun lalu.

“Ketika kejadian saya dalam perjalanan membuka kedai itu dan tiada seorang pun pekerja dalam premis berkenaan.

“Walaupun kedai rosak teruk namun saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dalam kejadian ini,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: