Partime Job

Friday 13 April 2012

Misteri aktiviti jiran terbongkar

SELAYANG – Misteri sebuah kediaman di Sunway Batu Caves di sini yang kerap dikunjungi seawal jam 11 pagi hingga larut malam terjawab apabila premis tersebut sebenarnya rumah urut haram.

Serbuan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) hasil risikan dan maklumat awam semalam, mendapati rumah tersebut menawarkan pakej urut kepada pelanggan dengan harga serendah RM30.

Sumber yang mahu dikenali sebagai Ida berkata, kediaman jirannya yang dikenali Esther berusia dalam lingkungan 40-an baru berpindah dua bulan lalu dan memaklumkan sudah berkahwin namun tidak tinggal sebumbung memandangkan suaminya masih berada di Sabah.

Menurutnya, dia hanya sempat berbual sekali sewaktu jirannya baru berpindah namun tidak tahu kerja sebenar yang dilakukan Esther yang kerap menerima kunjungan antara lima hingga enam orang sehari yang kebanyakannya adalah lelaki berusia.

“Pelanggan bukan hanya membabitkan orang tempatan sahaja tetapi terdapat juga warga Indonesia dan Bangladesh.

“Kami sekeluarga memang mengesyaki sesuatu tetapi tidak mahu berprasangka buruk menyebabkan kami memilih sikap tidak campur tangan sehinggalah rumah itu diserbu MPS semalam,” katanya.

Sementara itu Ketua Operasi, Nozie Akmar Mohd berkata, pada mulanya ketika MPS menyerbu premis itu, suspek enggan membuka pintu namun melalui penyamaran kali kedua oleh kakitangan MPS berjaya memperdaya Esther untuk membuka pintu.

“Perkakasan dan kelengkapan urutan antara bahan yang dirampas selain mengenakan kompaun sebanyak RM1,000 atas kesalahan menjalankan perniagaan rumah urut di unit kediaman tanpa kebenaran,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau dalam pada itu berharap, orang awam dapat menyalurkan maklumat dan aduan kepada MPS supaya tindakan membanteras aktiviti rumah urut haram dapat dilakukan secara menyeluruh.

Dalam operasi sama, premis rumah urut di Medan Selayang yang baru beroperasi selama 13 hari turut sama dikenakan sitaan dan kompaun selepas menjalankan perniagaan tanpa kebenaran.

Walaupun baru beroperasi, premis tersebut sudah mempunyai pelanggan tetap menerusi tarikan iklan di hadapan premis selain tawaran kadar harga yang murah.

sumber : sinarharian

No comments: