Partime Job

Tuesday 3 April 2012

3 pemancing nyaris lemas tak sedar air pasang

ENDAU: Tindakan pantas penduduk kampung menghubungi pasukan penyelamat selepas menyedari tiga pemancing terperangkap di Batu Kupang, berhampiran Pulau Mawar di Teluk Sari di sini, menyelamatkan mereka daripada lemas akibat air pasang, petang kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian jam 6.30 petang itu, penduduk hairan apabila mendapati kenderaan milik mangsa tersadai di tepi pantai sedangkan ketiga-tiga pemancing yang keluar sejak pagi masih belum pulang walaupun hari sudah lewat manakala air mula pasang.


Tiga mangsa, dua dari Bahau, Negeri Sembilan dan seorang penduduk tempatan diselamatkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Endau.

Ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Riduan Arshad, 29, Sulaiman Said, 31, dan penduduk tempatan, Abdul Halim Abdullah, 41.


Mereka mengisi cuti hujung minggu dengan memancing di Batu Kupang, Teluk Sari dan terperangkap kerana tidak menyedari kawasan itu dinaiki air.


Ketiga-tiganya terperangkap lebih enam jam dan berlindung daripada ombak dengan duduk di atas batu hingga lewat petang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Endau, Pegawai Bomba Kanan II, Sulong Khaled berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 5.53 petang, beliau bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.


“Sukar merapati lokasi berkenaan berikutan ombak kuat, namun hasil kecekapan anggota, ketiga-tiga mangsa dapat diselamatkan.

“Kaki pancing dinasihatkan berhati-hati dan mengkaji keadaan air pasang surut di lokasi yang asing bagi mereka untuk mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya.

sumber : mymetro

No comments: