Partime Job

Tuesday 3 April 2012

Seorang maut, 2 parah ditembak di restoran

SUNGAI BULOH: Akibat dendam, seorang lelaki mati manakala tiga rakannya cedera termasuk dua parah selepas ditembak dua lelaki di sebuah restoran di Matang Pagar, Desa Jaya, Sungai Buloh, lewat malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.15 malam itu, S Parameswaran, 23, berada di luar restoran sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal dan seorang daripada mereka melepaskan beberapa das tembakan.


Mangsa mati di tempat kejadian dan dua lagi rakannya yang baru dibebaskan dari penjara minggu lalu, parah terkena tembakan pada dada serta perut. Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, seorang lagi rakan mangsa turut terkena tembakan di kaki, namun kecederaannya tidak serius dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sungai Buloh.

Menurutnya, berdasarkan serangan mengejut terhadap semua mangsa, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian itu bermotif dendam.


“Kami percaya serangan terbabit dilakukan secara terancang kerana suspek sudah menunggu mangsa keluar dari restoran sebelum melepaskan tembakan.


“Selain itu, kita percaya kes ini mungkin bermotifkan dendam atau permasalahan antara kumpulan samseng dan polis turut menyiasat sama ada serangan mempunyai kaitan dengan dua mangsa yang cedera parah itu kerana mereka bekas tahanan polis,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan Unit Forensik Polis Selangor di tempat kejadian, enam kelongsong peluru jenis .9 milimeter dari pistol separa automatik yang digunakan suspek ditemui.


Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222 atau datang ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

sumber : mymetro

No comments: