Partime Job

Wednesday, 14 March 2012

YBK rakan strategik

SHAH ALAM: Kerajaan Pusat akan terus memberi sokongan kuat kepada Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) sebagai rakan strategik dalam usaha membasmi kemiskinan tegar dan kemiskinan relatif di negara ini termasuk di Selangor.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengajak rakyat bersama membantu Kerajaan Pusat mengambil alih pentadbiran kerajaan pakatan pembangkang Selangor bagi membolehkan YBK menjayakan program lima tahun untuk membantu rakyat miskin.


Beliau berkata, ini kerana program transformasi YBK walaupun bertujuan murni untuk mengeluarkan penduduk daripada kelompok kemiskinan, ia adalah bersyarat berikutan status tanah yang diambil alih dan dikaveat kerajaan negeri Selangor.

Katanya, usaha YBK amat baik, tetapi ada satu kekangan agak besar iaitu rancangan itu adalah di atas tanah sama ada tanah yang dirampas balik sebanyak 191 hektar atau tanah yang dikaveat kerajaan negeri.


“Nampaknya pelan transformasi lima tahun ini bersyarat. Kalau pelan transformasi hendak dijadikan kenyataan, YBK perlu mendapatkan balik tanah 473 ekar (191 hektar) itu dan lebih 800 ekar (324 hektar) yang dikaveat.


“Mengapa tanah dikaveat? Saya dapat membuat kesimpulan, setelah melihat rentetan sejarah yang berlaku, saya dapati ia berpunca daripada hasrat Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) nak jadi pengerusi YBK.

“Bila hasrat itu tak kesampaian, tanah dirampas dan yang baki dikaveat. Kami tak perlu menjadi seorang saintis nuklear untuk buat kesimpulan. Kesimpulannya ialah pelan transformasi YBK ini berkait rapat dengan transformasi politik di Selangor,” katanya ketika melancarkan program Transformasi Lima Tahun sempena 22 Tahun Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) di sini, semalam.


Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom.

Pelan transformasi YBK 2012-2016 dirancang untuk memastikan YBK sentiasa relevan dan mencapai misi terhadap golongan sasarnya.


Dengan menyuntik nilai tambah dan pendekatan yang lebih kreatif, YBK meramalkan program pembasmian kemiskinan lebih memberi impak yang tinggi.


YBK yang ditubuhkan pada April 1990 mempunyai rekod baik dalam membasmi kemiskinan melalui penempatan Asrama Kasih YBK, pembinaan sembilan Desa Kasih, penubuhan Kolej Komuniti YBK dan terbaru, kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Jasin, Melaka.


Najib berkata, beliau masih teringat lawatannya ke Kompleks PKNS di sini, sebelum ini apabila ada peniaga mengadu dikenakan kenaikan sewa premis sebanyak 100 peratus dan merayu Kerajaan Pusat mengambil alih kompleks itu.


Katanya, jawapannya ketika itu ialah daripada mengambil alih kompleks itu bagi mengatasi masalah peniaga, ia akan lebih mudah diatasi jika Kerajaan Pusat mengambil alih kerajaan Selangor.

sumber : mymetro

No comments: