KOTA BHARU: “Perbuatannya (pembunuh) kejam, lebih daripada sifat binatang,” kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Nik Abdul Aziz berkata demikian sebagai mengulas kematian Nurul Nadhirah Abdullah atau Dirang, 5, yang hilang dari rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Johor pada 1 Mac lalu.
Dirang disahkan dibunuh dan dibakar selepas ujian deoxyribonucleic asid (DNA) terhadap mayat rentung yang ditemui di ladang sawit Nusa Damai, 8 Mac lalu, dikenal pasti sebagai mayat kanak-kanak itu. Menurutnya, binatang walau sebuas mana pun, ada juga yang tidak mencederakan atau membunuh antara satu sama lain, inikan pula manusia yang mempunyai akal berfikir.
“Saya membaca akhbar hari ini (semalam) mengenai tragedi yang menimpa adik Nurul Nadhirah Abdullah, yang disahkan dibunuh dan dibakar. Saya rakam simpati dan takziah kepada keluarga mangsa, semoga Allah Taala mengurniakan sebaik-baik ganjaran di atas musibah yang dihadapi. “Punca jenayah seperti ini juga disebabkan manusia sudah tidak takutkan Allah kerana sesungguhnya ketakutan kepada Allah itulah yang mencegah manusia daripada melakukan jenayah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Persidangan Orang Kelainan Upaya (OKU) Darulnaim, di sini, semalam.
Nik Abdul Aziz berkata, undang-undang tanpa berlatarkan agama masih tidak mampu mengekang semua kejadian jenayah kejam seperti itu.
“Undang-undang hanya boleh gari tangan manusia, tetapi tidak boleh gari sifat jahat manusia. Begitu juga hakim, boleh gantung orang bersalah, tapi tidak boleh gantung perasaan hati yang jahat. “Oleh itu, undang-undang perlu berlatarkan agama,” katanya.
sumber : mymetro

No comments:
Post a Comment