Partime Job

Thursday 22 March 2012

Wartawan disamun dua wanita




GEORGETOWN - Seorang wartawan sambilan akhbar Utusan Malaysia cedera di pergelangan tangan kiri selepas dikelar dua wanita yang menyamunnya di Lengkuk Bukit Jambul di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 petang, Malinda Abdul Malik, 23, yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Relau dikatakan memberhentikan kereta selepas ditahan dua wanita berkenaan yang menaiki motosikal.

Malinda berkata, pada mulanya dia beranggapan kedua wanita itu ingin meminta pertolongan namun ternyata tanggapannya silap apabila dia secara tiba-tiba disamun mereka.

“Ketika itu hujan lebat dan saya bersimpati dengan mereka yang dilihat seolah-olah memerlukan bantuan.

“Kedua wanita itu terus menghampiri dan saya membuka tingkap kereta untuk membantu mereka. Namun kedua-dua wanita itu yang pada mulanya dilihat seperti ingin meminta pertolongan tiba-tiba bertukar agresif apabila salah seorangnya menarik tangan saya dan mengelar menggunakan pisau kecil, manakala seorang lagi mengugut dan mengarahkan saya mengeluarkan wang,” katanya semalam.

Malinda berkata, beliau yang bimbang akan dicederakan lebih teruk oleh dua wanita itu hanya akur dengan kehendak mereka dan menyerahkan dompetnya.

Katanya, sebaik menyerahkan dompetnya, kedua wanita itu mengambil wang RM300 di dalamnya dan mencampakkan dompetnya dia tepi jalan.

Namun, episod mengerikan itu belum berakhir apabila wanita yang memegang pisau kecil itu sekali lagi mengelar tangannya sebelum kedua-dua mereka melarikan diri.

Akibat dari kejadian itu, Malinda berkata, dia menerima tujuh jahitan di pergelangan tangan kiri dan dia kini masih lagi trauma dengan kejadian berkenaan.

Menurutnya, motosikal yang dinaiki dua wanita berkenaan tidak mempunyai nombor pendaftaran dan dia tidak dapat mengecam mereka.

Malinda berkata, satu laporan dibuat di Balai Polis Sungai Nibong dan beliau berharap polis dapat memberkas kedua-dua wanita berkenaan secepat mungkin.

sumber : sinarharian

No comments: