Partime Job

Thursday 22 March 2012

Cemas diculik selama sejam


SUBANG JAYA – Seorang pelajar perempuan melalui detik-detik cemas apabila dia dilarikan selama sejam oleh sekumpulan individu tidak dikenali di persimpangan USJ 8, di sini tengah hari, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, mangsa yang memakai baju-T dan track suit dikatakan berjalan kaki dari rumahnya di USJ 1 ke sebuah sekolah menengah di USJ 8 di sini.

Ketika sedang melintas laluan Persiaran Kewajipan, mangsa dikatakan ditarik beberapa lelaki yang kemudian memaksanya masuk ke dalam sebuah van berwarna hitam sebelum dibawa sekitar Subang Jaya selama lebih kurang sejam.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan selamat daripada terus dilarikan apabila kenderaan dipandu suspek terserempak dengan anggota polis yang menjalankan Ops Payung di SS16/1 berdekatan sebuah pusat beli-belah terkenal di sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, mangsa yang berusia 14 tahun dikatakan baru sahaja melintas jalan di persimpangan itu sebelum dikejutkan dengan kehadiran sebuah kenderaan.

Menurutnya, kejadian berlaku terlalu pantas apabila dua lelaki dalam kenderaan terbabit terus menarik mangsa masuk ke dalam van dan menyuruhnya diam.

“Mata mangsa kemudian ditutup dengan sehelai kain manakala tangannya diikat dengan pita pelekat.

“Di dalam van berkenaan, suspek tidak henti-henti bertanya sama ada mangsa ada memakai barang kemas dan membawa wang tunai atau tidak,” katanya.

Yahaya berkata, mangsa kemudian memaklumkan dia tidak membawa wang tunai dan tidak mengenakan barang kemas.

“Seorang suspek bertindak meraba leher dan tangannya untuk mengesahkan dakwaan mangsa itu.

“Mangsa mendakwa dia tidak dipukul atau dipengapakan sepanjang berada dalam kenderaan itu,” katanya.

Beliau berkata, ketika dalam perjalanan tanpa mengetahui lokasi membawa mangsa itu, kumpulan suspek terbabit dikatakan terserempak dengan anggota polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah, Ops Payung.

“Mangsa mendakwa, beberapa suspek yang cemas dan cuak dikatakan menyebut perkataan polis beberapa kali. Mungkin terlalu bimbang, suspek kemudian membuka ikatan tangan dan membuka kain yang menutupi mata mangsa sebelum melepaskannya kira-kira 100 meter dari jarak anggota polis melaksanakan Ops Payung.

“Sebaik matanya dapat melihat, mangsa mendakwa terdapat tiga lelaki dan seorang perempuan berusia lingkungan 20-an di dalam van warna hitam yang melarikannya sebelum itu. Bagaimanapun, mangsa gagal mengingati nombor pendaftaran kenderaan itu,” katanya.

Yahaya berkata, polis kini giat memburu kenderaan digunakan suspek yang terbabit dalam insiden mencemaskan itu.

“Bapa mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian sebaik anaknya diselamatkan dan ditempatkan di balai.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai cubaan samun dan melarikan orang di dalam negara ini,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: