Partime Job

Monday 19 March 2012

Tolak ajakan ibu demi tunai janji


TANJUNG BUNGAH-Malang tidak berbau. Itulah yang boleh disimpulkan terhadap nasib seorang pelajar kolej yang dikhuatiri lemas di pantai dekat sini semalam. Afiq Ridha Ajib Roshidi, 19, dikatakan hilang ketika turun ke laut untuk mandi bersama tiga rakannya yang sebelum itu ke pantai berkenaan untuk memancing.

Saksi, Rashid Suhaibudeen, 55, berkata, ketika kejadian, dia sedang memancing bagi menghabiskan masa hujung minggu.

“Semasa saya sedang memancing, ada dua kumpulan remaja termasuk kumpulan mangsa turut memancing di persisiran pantai ini. Ketika asyik memancing, salah seorang remaja dari kolej matrikulasi terkena sengatan obor-obor dan meminta saya berbuat sesuatu. Ketika saya mengubati remaja berkenaan, mangsa dan tiga rakannya turut datang menjenguk dan kami sempat berbual.

“Selepas menyuruh remaja yang terkena sengatan itu supaya ke hospital, saya menyambung memancing semula sementara mangsa dan tiga rakannya turun ke laut untuk mandi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Saksi gagal bantu kerana tidak tahu berenang

Menurutnya, ketika memancing, dia melihat mangsa mandi berdekatan dengan salah seorang rakannya. Namun dia tidak terlalu mengendahkan kerana yakin pelajar itu boleh berenang berdasarkan gayanya.

“Saya kemudian ternampak mangsa mengangkat kedua tangannya namun bukan dalam keadaan terkapai-kapai. Kemudian, saya langsung tidak nampak tangan mangsa dan mula syak ada sesuatu yang tidak kena.

“Salah seorang rakannya kemudian datang kepada saya meminta pertolongan tapi malangnya saya tidak tahu berenang. Saya kemudian meminta pertolongan salah seorang lelaki yang kebetulan berada di situ namun dia pun tidak tahu berenang,” katanya.

Rashid berkata, dia kemudiannya menghubungi pihak bomba dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM)untuk bantuan.

Mangsa enggan ikut ibu ke rumah nenek

Sementara itu, ibu mangsa, Roshidah Ismail, 43, berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa anak kedua daripada tiga beradik itu setelah dihubungi salah seorang rakan mangsa sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Roshidah yang bekerja sebagai kerani di sebuah kilang berkata, dia menghubungi anaknya itu pada jam 9.30 pagi semalam untuk bertanyakan keadaannya.

“Saya tahu dia dan tiga rakannya nak pergi memancing. Saya ada hubunginya untuk berbual serta memesan supaya tidak turun ke laut untuk mandi dan dia akur. Ketika itu, tiada perubahan yang ditunjukkan.

“Cuma malam semalam (kelmarin), semasa baru pulang dari asrama kolejnya, saya mengajak dia ke rumah neneknya namun dia menolak kerana sudah berjanji dengan rakannya untuk memancing,” katanya.

Roshidah berkata, anaknya yang kini sedang mengikuti jurusan kejuruteraan di kolej Perda Tech, Nibong Tebal itu selalu menghabiskan masa terluangnya dengan memancing bersama tiga rakan yang dikenali sejak sekolah menengah.

Usaha Sinar Harian untuk menemu ramah ketiga-tiga rakan mangsa, Amirul Afiq Noordin, 19; Hilmi Jalil, 19, dan Yusri Md Yazid, 19, gagal kerana masih bersedih dengan kehilangan rakan mereka itu.

Operasi mencari dihentikan pada jam 6 petang kerana cuaca mulai gelap dan akan bersambung hari ini.

sumber : sinarharian

No comments: