Partime Job

Tuesday 6 March 2012

Terokai bidang angkasa lepas


TEMERLOH – Industri angkasa lepas masih mempunyai ruang kerja yang sangat luas bukan hanya tertumpu pada angkasawan semata-mata sebaliknya terdapat 150 bidang lain yang belum diteroka secara serius pelajar tempatan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, industri angkasa lepas terbahagi kepada dua iaitu kejuruteraan yang melatih angkasawan dan satu lagi bidang yang kurang diterokai iaitu bukan kejuruteraan seperti kajian logam, karbon, tenaga dan banyak lagi.

Menurutnya, terdapat tujuh universiti tempatan yang menyediakan kursus berkaitan angkasa lepas ia menerima sambutan baik di universiti namun masih kurang difahami pelajar lepasan sekolah menengah.

“Melalui bidang bukan kejuruteraan ini pelajar diajar banyak perkara berkaitan industri angkasa lepas dengan peluang pekerjaan terbuka luas bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara.

“Kerajaan juga komited untuk terus meneroka industri angkasa lepas selepas kejayaan menghantar angkasawan pertama negara Datuk Dr Sheikh Muszapar Shukor Sheikh Mustapha,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Sains, Pendidikan dan Jejak Inovasi peringkat daerah Temerloh di Sekolah Menengah Abu Bakar di sini.

Hadir sama, angkasawan kedua negara, Dr Mejar Dr Faiz Khaleed.

Saifuddin berkata, beliau yakin pelajar yang mengambil kursus berkaitan industri angkasa mempunyai peluang kerja yang luas memandangkan pelajar Malaysia mempunyai kebolehan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik.

Beliau berkata, Malaysia menjadi hab dunia penerbangan dan tidak mustahil dalam jangka masa pendek akan menjadi hab angkasa lepas selepas ini.

Sementara itu, Mejar Dr Faiz turut mengakui peluang kerjaya yang luas dalam industri angkasa lepas selepas Malaysia mengikut jejak negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Rusia dan China yang telah lama berada dalam industri itu.

Menurutnya, Malaysia memasuki bidang ini yang hanya disertai 25 negara di seluruh dunia ianya satu skop kerjaya yang terbuka luas buat anak Malaysia bukan sahaja sebagai angkasawan malah bahagian lain yang termasuk dalam industri itu.

Sumber : Sinar harian

No comments: