Partime Job

Tuesday 6 March 2012

Miliki pejabat JPJ sendiri

KLUANG - Masyarakat di daerah ini, kini boleh menarik nafas lega apabila tidak perlu lagi pergi jauh hingga ke Batu Pahat atau Johor Bahru untuk berurusan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana Pejabat Stesen Penguatkuasa Sri Lalang, di sini, sudah dinaik taraf sebagai Pejabat JPJ Cawangan Kluang bermula 1 Mac lalu.

Pengarah JPJ Negeri Johor, Johari Yusof berkata, pada asalnya, Pejabat Stesen Penguatkuasa Sri Lalang yang mula beroperasi sejak 1 Ogos 1996 hanya melaksanakan aktiviti penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kaedah di bawahnya.

“Lantaran itu, pada tahun ini, selaras dengan hasrat kerajaan untuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan terus kepada rakyat, maka pihak jabatan menaik taraf pejabat ini menjadi Pejabat JPJ Cawangan Kluang,” katanya pada sidang media di Pejabat JPJ Cawangan Kluang, semalam.

Menurutnya, perkhidmatan yang ditawarkan sama seperti cawangan lain iaitu pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM); pembaharuan Lesen Memandu; Lesen GDL dan PSV; Pendaftaran Kenderaan Baru dan tukar milik kenderaan; tempahan ujian pemandu; semakan senarai hitam dan pembayaran saman JPJ.

Johari berkata, dengan kewujudan Pejabat JPJ Cawangan Kluang ini, masyarakat dapat berurusan dengan lebih cepat dan efisien.

“Walaupun keadaan pejabat ini kecil dan hanya menempatkan lima kaunter pembayaran, itu tidak menghalang pegawai kami untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Apa yang penting bagi kami adalah perkhidmatan yang diberikan dan bukannya tempat kerana kami tahu lama kelamaan tempat ini akan penuh dengan kunjungan pelanggan malah, pihak kami juga ada perancangan untuk membina pejabat JPJ yang baru tetapi ia bergantung kepada peruntukan,” katanya.

Tambahnya, sejak kaunter perkhidmatan dibuka 1 Mac lalu, bilangan pelanggan yang datang semakin bertambah dan pada semalam sahaja seramai 132 pelanggan telah mengunjungi pejabat JPJ.

Johari berkata, walaupun semakin ramai tetapi matlamat utama pihaknya adalah mahu memberikan perkhidmatan terus kepada masyarakat.

“Pada masa ini kebanyakan pegawai penguat kuasa sedia ada yang menjalankan tugas di kaunter pembayaran, namun kerja operasi tidak pernah mereka abaikan,” katanya.

Sumber : Sinar harian

No comments: