“TANAH mereka 10 ekar tidak disentuh, walaupun segenggam tanah. Kalau ada lebih kecil dari segenggam, sebutir tanah peneroka pun tidak disentuh.
“Bagaimana peneroka boleh rugi? Tapak rumah seinci pun tak disentuh...Saham satu sen pun tak disentuh... Bagaimana peneroka boleh rugi?” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau mengulas soalan tambahan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) yang bertanya adakah Felda bersedia mengadakan referendum mendapatkan persetujuan secara formal daripada peneroka serta adakah Felda serius dalam usaha itu.
Ahmad (BN-Pontian) berkata, penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) di Bursa Saham membolehkan warga Felda mendapat durian runtuh seperti pulangan dividen, saham manakala segala keistimewaan dikekalkan, sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.
“Mengenai Pengerusi Felda (Tan Sri Isa Samad), dia mempunyai pengalaman 22 tahun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan. “Untuk makluman, Negeri Sembilan adalah kawasan ketiga besar mempunyai Felda di seluruh Malaysia. Beliau tahu mengenai Felda dan peneroka,” katanya.
Menjawab soalan asal Salahuddin menyatakan prestasi semasa pelaburan FGVH di dalam dan luar negara serta sejauh mana kajian dibuat mengenai baik buruk penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia, Ahmad berkata, kerajaan memberi jaminan masa depan peneroka terjaga selepas penyenaraian dan segala keistimewaan dinikmati sebelum ini akan diteruskan.
“Penyenaraian ini bakal menguntungkan peneroka Felda di mana FGVH dapat merungkai nilai daripada aset miliknya daripada prospek perniagaan yang baik.
“Di samping itu manfaat ekonomi peneroka dapat ditingkatkan melalui perkongsian keuntungan yang dijana selepas penyenaraian,” katanya.
Beliau berkata, maklum balas daripada sesi penerangan yang diadakan, sebahagian besar menyatakan sokongan terhadap penyenaraian itu, manakala minoriti tidak menyokong akibat hasutan pihak tertentu.
sumber : mymetro

No comments:
Post a Comment