SEJAK dulu orang sering memperkatakan mengenai kejayaan dan kecemerlangan. Setiap usaha yang dilakukan mestilah menjurus kepada kecemerlangan. Dewasa ini, semakin ramai orang yang mampu menerapkan cara hidup positif dalam membentuk keluarga berdaya maju dan cemerlang.
Dalam kehidupan berkeluarga, penerapan budaya cemerlang mesti dilakukan dalam semua perkara. Ibu bapa mestilah menerapkan budaya ini dalam melakukan kerja yang diamanahkan. Begitu juga, anak dinasihati supaya cemerlang dalam pelajaran, pekerjaan dan kehidupan.
Justeru, anak sejak kecil lagi digalakkan mencipta budaya cemerlang, khususnya dalam pelajaran demi masa depan mereka dalam era globalisasi.
Galakan ini seterusnya diberikan oleh ibu bapa apabila anak bersekolah pada tahun satu hingga enam dan daripada tingkatan satu hingga lima, seterusnya di peringkat universiti.
Dalam usaha menggalakkan kecemerlangan ini, kerajaan banyak menyediakan ruang dan peluang yang terbuka luas kepada anak sejak di bangku sekolah untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi khususnya ke peringkat doktor falsafah (PhD).
Langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan Ainudin Wahid Endowment Fund dengan dana RM10 juta bagi membiayai pelajar peringkat PhD di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah langkah yang tepat ke arah kecemerlangan.
Perdana Menteri berkata, dana berkenaan akan diagihkan secara berperingkat dengan peruntukan RM2 juta setahun untuk tempoh lima tahun.
Beliau berkata, dana itu akan digunakan untuk membiayai lima pelajar PhD setiap tahun yang daripada kumpulan ‘cr�me de la creme’ iaitu yang terbaik.
“Pelajar PhD yang dibiayai oleh dana ini juga berpeluang mengikuti sandaran selama enam bulan ketika pengajian di satu daripada institusi akademik tersohor dunia iaitu Universiti Oxford, Cambridge, MIT atau Imperial College,” katanya.
Semua asas untuk meletakkan budaya kecemerlangan ini mestilah bermula dari bawah sejak di tadika dan taska lagi. Apabila anak sudah menunjukkan kecemerlangan mereka mestilah digalakkan membaca sebanyak mungkin buku yang mengandungi pelbagai ilmu pengetahuan.
Di samping itu, mereka juga mesti mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang teknologi maklumat (IT) bagi memudahkan mereka bersaing di peringkat global.
Bagaimanapun, anak mestilah diberikan kefahaman dan sikap tidak lupa sejarah. Rakyat yang tidak lupa sejarah mampu mengorak langkah membina kejayaan ke arah masa depan dengan lebih baik dan cemerlang.
Kajian di Universiti Harvard menunjukkan bahawa unsur kecemerlangan diri ialah bergantung pada 85 peratus sikap, 15 peratus bakat. Melalui kajian ini menunjukkan bahawa 85 peratus pekerja dinaikkan pangkat kerana sikap dan hanya 15 peratus saja yang dinaikkan pangkat kerana bakat.
Menurut Penerima Anugerah Merdeka, Profesor Dr Mak Joon Wah, apa yang pasti generasi kini ingin maju dan berjaya perlu fokus serta mendalami sesuatu pekerjaan mahupun pelajaran dengan penuh minat. Ini kerana tanpa minat sesuatu pekerjaan itu tidak mempunyai jiwa dan hasilnya pasti tidak cemerlang.
Justeru, minat dan kesungguhan penting dalam apa bidang sekalipun. Menambah dan mencari ilmu dan pengalaman sangat penting dalam membina diri ke arah kecemerlangan. Sifat gigih, rajin dan tidak pernah puas dengan kejayaan yang dicapai adalah ciri-ciri orang yang berjaya.
Kejayaan jurutera Malaysia, Wan Nazri Wan Aria, 31, yang terbabit dalam mereka bentuk pembinaan menara jam Abraj Al-Bait di Makkah seharusnya menjadi contoh dan teladan kepada rakyat Malaysia yang ingin mencipta kejayaan.
Kita harus berbangga dengan kejayaan anak Malaysia itu. Beliau adalah jurutera syarikat dari Jerman, SL Rasch, yang bertanggungjawab menampilkan reka bentuk dan pembinaan menara jam gergasi itu.
Kejayaan dan keupayaan tinggi beliau sudah mendapat pengiktirafan pihak berkuasa Arab Saudi.
Untuk mencapai kejayaan cemerlang setiap orang memerlukan dorongan, sikap positif, bakat dan ada motivasi dalam hidupnya. Motif yang hendak dicapai dalam hidup mestilah jelas dan sentiasa menjurus ke arah kejayaan.
Selain itu, percaya pada diri sendiri, tidak mudah putus asa, ada ketenangan hati dan fikiran, sentiasa memikirkan kejayaan bukan kegagalan, berani menghadapi kegagalan, mengharapkan terbaik dalam setiap kerja yang dilakukan.
Motivasi juga dapat menentukan kadar peningkatan dan kejayaan dalam usaha mencipta kejayaan. Tidak ada orang yang mencapai kejayaan tanpa motivasi. Justeru, ibu bapa dan guru seharusnya sentiasa memberikan motivasi kepada kejayaan anak dan pelajar di sekolah.
Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu
sumber : mymetro

No comments:
Post a Comment