KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi berhubung punca kematian pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), R Vinoth, 18, sebelum keputusan bedah siasat lengkap diperoleh.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, pihaknya sudah meneliti laporan awal berkaitan masalah kesihatan mendiang dan masih menunggu keputusan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya.
“Berdasarkan laporan, mendiang mula mengadu demam dan sakit perut pada 9 Mac lalu dan dihantar ke Hospital Sungai Siput, Perak untuk rawatan lanjut. “Ketika itu, mendiang diberi rawatan sebagai pesakit luar dan pada masa sama, Pusat Perubatan Kem sentiasa memantau tahap kesihatannya. “Bagaimanapun, Ahad lalu, mendiang dimasukkan ke hospital sama kerana demam dan muntah sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokannya,” katanya menerusi satu kenyataan dihantar kepada Harian Metro, semalam.
Abdul Hadi berkata, punca kematian mendiang masih belum diketahui dan pihaknya masih menanti laporan bedah siasat daripada hospital terbabit.
“Saya sudah menyemak laporan awal dan mendapati pihak kem mematuhi peraturan serta mengikut prosedur dalam memberi rawatan kepada mendiang. “Sebagai tanda simpati, jabatan menyampaikan bantuan pengebumian sebanyak RM3,000,” katanya.
sumber : mymetro

No comments:
Post a Comment