KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar meletakkan sasaran sifar salah laku integriti dan rasuah di kalangan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan meningkatkan kredibiliti badan penguatkuasaan itu dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Menurutnya, bagi mencapai hasrat itu, pihaknya sudah merangka pelbagai inisiatif dan strategi dengan kerjasama agensi lain khususnya Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri membabitkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Beliau beranggapan sasaran sifar salah laku integriti sejajar dengan usia PDRM yang bakal menyambut ulang tahun ke-205 penubuhannya dan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat perlu dipertingkatkan.
“Hari ini saya menyampaikan mesej secara jelas dan terang kepada warga polis di seluruh negara bahawa setiap pegawai dan anggota polis perlu sentiasa menunjukkan kepada masyarakat yang kita fokus dan serius untuk mencapai tahap integriti lebih tinggi.
“Kita nak lihat sifar dalam amalan yang tak bermoral di kalangan warga PDRM, namun apa tahap yang kami capai nanti saya serahkan kepada masyarakat untuk menilai dan ketika ini, penilaian pelbagai agensi dalam serta luar negara meletakkan PDRM di tahap yang baik,” katanya selepas merasmikan Majlis Membudayakan Amalan Integriti Dalam PDRM di sini, semalam.
Pengarah NKRA Rasuah, Datuk Hisham Nordin berkata, budaya baru diterapkan dalam PDRM iaitu semakin ramai anggota dan pegawai polis yang melaporkan jika ditawarkan rasuah.
sumber : mymetro

No comments:
Post a Comment