Partime Job

Friday 30 March 2012

Suspek bakar kereta mati

SHAH ALAM - Seorang suspek lelaki yang disyaki terbabit kes bakar 18 kereta mewah di Sentul baru-baru ini, mati semalam akibat kecederaan parah di kepala setelah terjatuh motosikal ketika cuba melarikan diri, Sabtu lalu.

Difahamkan, suspek berusia 42 tahun itu meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 5 pagi semalam dan bedah siasat dijalankan pada jam 2.30 petang.

Keluarga mangsa yang tinggal di Bentong, Pahang juga sudah dimaklumkan berhubung kejadian.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi semalam mengesahkan kematian suspek yang merupakan anak kelapan daripada sembilan beradik itu.

Beliau berkata, pihaknya masih belum dapat memastikan sama ada suspek mempunyai masalah mental atau berada di bawah pengaruh dadah ketika membakar 18 kereta orang awam baru-baru ini.

“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan menggunakan api.

“Bagaimanapun, semakan yang kita buat menunjukkan suspek memang ada rekod sebagai penagih dadah dan pernah dirawat di sebuah hospital di Kuantan, Pahang,” katanya.

Sebelum ini, polis menafikan orang awam memukul suspek sehingga cedera parah, sebaliknya menegaskan kecederaan berlaku, gara-gara suspek terjatuh motosikal ketika hendak melarikan diri.

Akibat insiden itu, suspek yang menerima 10 jahitan mengalami pendarahan otak dan kecederaan di muka, dahi dan kelopak mata.

Ketika ditahan baru-baru ini, polis merampas tuala, minyak petrol serta pemutar skru yang ditajamkan suspek dan dipercayai digunakan untuk memancitkan tayar kereta orang awam.

Suspek dikatakan menggunakan modus operandi dengan memancitkan tayar kereta sebelum membakarnya dengan petrol.

sumber : sinarharian

No comments: