Partime Job

Monday 19 March 2012

Suami bimbang isteri diperalat


SUNGAI HAJI DORANI – Seorang suami melahirkan kebimbangan berikutan isteri dan anaknya dipercayai dilarikan seorang lelaki ke Melaka sejak Rabu lalu.

Mohd Nooh Mohd Kassim, 31, berkata, beliau risau sekiranya isterinya, Nor Hafizah Mohd Nazir, 19, terpedaya dengan lelaki berkenaan kerana sikapnya yang lurus.

Menurutnya, dia juga khuatir sekiranya lelaki itu memperalatkan isterinya selain bimbangkan keselamatan bayi mereka, Muhammad Aby Khusairy, yang baru berusia 8 bulan.

“Sepanjang tiga tahun perkahwinan kami, Nor Hafizah seorang isteri yang baik, tidak pernah berkelakuan mencurigakan dan tidak wujud sebarang masalah antara kami.

“Saya benar-benar bimbang keselamatan mereka berdua, kerana pelbagai perkara boleh terjadi dan saya merayu supaya mereka dipulangkan,” katanya.

Mohd Nooh berkata, dia ada menghubungi telefon bimbit isterinya sejak beberapa hari lalu tetapi gagal bercakap sehinggalah kelmarin Nor Hafizah menelefon memaklumkan dia bersama seorang lelaki.

“Sebelum ini, saya ada hubungi isteri beberapa kali, tetapi gagal kerana adakala telefon bimbitnya ditutup dan adakala tidak diangkat. Alhamdulillah, dia ada hubungi saya (kelmarin) dan memaklumkan dia hendak pulang ke rumah, tetapi lelaki itu tidak mahu menghantarkannya pulang.

“Saya juga difahamkan, lelaki itu bersama anak buahnya mengambil Nor Hafizah selepas menghantar isterinya yang mengalami masalah mental ke rumah mertuanya, di Sungai Panjang dan kini Nor Hafizah bersama bayi kami tinggal di rumah lelaki itu bersama dua anaknya,” katanya.

Terdahulu, Mohd Nooh menghantar isterinya pulang ke kampung, di Parit 13, Sungai Nibong Ahad lalu.

Namun, dua hari kemudian, dia menerima panggilan telefon daripada adiknya berhubung kehilangan Noor Hafizah bersama bayi mereka dipercayai mengikut dua lelaki berusia 20-an dan 40-an menaiki kancil berwarna ungu.

Pada mulanya, Mohd Nooh beranggapan isterinya menghilangkan diri bersama anak mereka, namun setelah menerima panggilan daripada Nor Hafizah kelmarin, hatinya mula reda.

“Saya berharap dia (lelaki tersebut) tidak mengapa-apakan isteri dan anak saya.

Mohd Nooh mendakwa, ada kemungkinan isteri terkena buatan orang kerana tidak sedar hingga boleh mengikuti lelaki itu sehelai sepinggang selain tidak membawa bersama dokumen pengenalan diri dan kini berkeinginan ingin pulang.

sumber : sinarharian

No comments: