Partime Job

Monday 19 March 2012

Papan iklan: Bukan sekadar kejar untung


MERU - “Jangan hanya fikirkan keuntungan semata-mata,” selar ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) Zon N42 (A) kawasan Bukit Kapar, Alan Tan Heng Kim berhubung tindakan sebuah syarikat perniagaan, di sini yang didakwa memasang papan iklan tanpa kebenaran.

Heng Kim berkata, tindakan­ syarikat berkenaan memasang iklan di atas bangunan premis tanpa kebenaran Jabatan Bangunan MPK dikhuatiri membahayakan keselamatan orang awam.

Menurutnya, papan iklan berkeluasan kira-kira 20x40 kaki yang dipasang Jumaat minggu lalu itu tidak mustahil membawa risiko terutama apabila struktur binaannya dikhuatiri tidak menepati syarat ditetapkan.

“Mana-mana syarikat atau jabatan yang ingin memasang papan iklan berkaitan perniagaan atau sebagainya haruslah merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih dahulu.

“Langkah ini penting bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku pada masa depan, jangan hanya fikirkan keuntungan semata-mata hingga faktor keselamatan diabaikan, nyawa umum lebih berharga,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Heng Kim berkata, pihaknya dimaklumkan syarikat berkenaan mendakwa mendapat kelulusan daripada MPK.

Bagaimanapun katanya, sebaik perkara itu dirujuk kepada Jabatan Bangunan MPK, didapati pemasangan berkenaan dilakukan tanpa kebenaran yang sah.

“Memikirkan risiko yang bakal berlaku, kita sudah mengarahkan pemasangan papan iklan itu diberhentikan serta-merta bermula Khamis lalu.

“Amaran keras ini harus dilakukan kerana kita tidak mahu berlaku sebarang kemungkinan akan datang membabitkan keselamatan orang ramai,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: