Partime Job

Monday 19 March 2012

Sri Lanka mula siasatan kes rompakan muzium

COLOMBO - Pihak berkuasa Sri Lanka pada Ahad melancarkan siasatan khas berhubung kes rompakan besar ke atas muzium utama negara ini, lapor agensi berita Xinhua.

Menteri Warisan Negara, Jagath Balasuriya memberitahu Xinhua beliau telah melantik satu jawatankuasa untuk melihat insiden tersebut termasuk dakwaan pencuri mungkin mendapat pertolongan dari orang dalam.

Perompak memasuki tingkat dua bangunan muzium yang terletak di ibu negara Colombo pada Jumaat malam dan mencuri beberapa barang berharga termasuk pedang purba dan syiling emas, kata polis.

Balasuriya berkata malah pencuri telah memutuskan sistem amaran keselamatan muzium, membuktikan mereka telah mengumpul maklumat penting berkenaan muzium itu sebelum melakukan jenayah tersebut, menurut laporan Xinhua.

Xinhua memetik Balasuriya sebagai berkata beliau percaya wujud rangkaian jenayah yang lebih besar terbabit dalam rompakan muzium tersebut.

Muzium negara tersebut ditutup pada hujung minggu bagi membantu siasatan polis, kata menteri berkenaan.

Muzium awam yang pertama di Sri Lanka itu ditubuhkan pada 1877 dan masih mengekalkan ciri bangunan kolonial British.

Sebagai tarikan utama pelancong, muzium berkenaan lebih dikenali mengumpul koleksi regalia diraja, hasil seni Sinhalese, perabot antik, tembikar dan manuskrip.

Ia turut menyimpan khazanah negara dan artifak dari segala pelusuk negara ini.

Agensi berita Sri Lanka, Lankapuvath melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah telah memaklumkan kepada pihak kastam dan Lapangan Terbang Colombo, Katunayake untuk menghalang barang yang dirompak itu dari diseludup keluar dari Sri Lanka.

Ia memetik polis sebagai berkata langkah keselamatan khusus untuk muzium tersebut turut dibincang bagi mengelak insiden yang sama daripada berulang di masa depan. - Bernama

No comments: