Wednesday, 14 March 2012
SMS rakan sebelum maut
GEORGETOWN - “Selepas ini kalau saya akan menyusahkan kamu..harap kamu boleh bantu saya.” Itu pesanan terakhir yang dihantar seorang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada rakannya sebelum ditemui mati dalam keadaan tertiarap selepas dipercayai jatuh dari bilik tidur kediamannya di tingkat 10 flat Desa Universiti, Sungai Dua, di sini semalam.
Mayat pelajar tahun akhir jurusan fizik itu jumpai seorang penduduk di kawasan berhampiran tempat letak kereta bangunan terbabit kira-kira 12.30 tengah hari semalam.
Dalam kejadian itu, Tan Chee Boon, 23, mengalami cedera parah di seluruh anggota badan termasuk kepala dan tangan.
Difahamkan, mangsa baru pulang ke rumah sewanya itu pada malam kelmarin selepas menghadiri majlis perkahwinan abangnya di kampung halaman di Taman Gunung Perak 2, Alor Setar, Kedah.
Malah sebelum kejadian, mangsa ada mengajak rakan serumahnya keluar minum pada awal pagi semalam menerusi SMS tetapi tidak dibalas.
Bagaimanapun, Chee Boon dikatakan sekali lagi menghantar SMS terakhir kepada mereka termasuk di status laman sosialnya yang bertulis “Selepas ini kalau saya akan menyusahkan kamu harap kamu boleh bantu saya.”
Seorang rakan mangsa yang ingin dikenali sebagai Tan berkata, berita mengenai kematian Chee Boon diberitahu seorang jiran yang menghubunginya.
“Ketika kejadian, saya dan kesemua rakan tiada di rumah dan malam semalam saya tidak sempat berjumpa dengannya termasuk membaca SMS yang dihantar kerana tidur awal. Malah sebelum ini, dia (Chee Boon) tidak pernah menceritakan segala masalah yang dihadapinya kepada saya mahupun rakan-rakan lain,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, seorang rakan mangsa yang enggan dikenali turut memberitahu, mangsa ada memintanya untuk melihat salinan keputusan peperiksaan kurang tiga jam sebelum ditemui mati.
Bagaimanapun, apabila dia meminta untuk melihat keputusan peperiksaan mangsa pula, mangsa enggan menunjukkannya sebelum wajahnya terus bertukar menjadi murung.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut dan percaya ia tiada unsur jenayah.
Kong Meng berkata, pemeriksaan di laman sosial milik mangsa turut mendapati dia meninggalkan status memohon maaf kepada ahli keluarganya.
“Kita akan menyiasat motif kejadian dan setakat ini tiada perbuatan jenayah berlaku terhadap mangsa. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat,” katanya.
sumber : sinarharian
Labels:
Berita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment