Partime Job

Wednesday, 14 March 2012

Muntah sebelum habis nyawa


SUNGAI PETANI – Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) menghidap penyakit Cerebral Palsy, yang pernah menerima kunjungan Program Jom Sahur dan Konvoi Sinar Harian 2011 meninggal dunia, 2 Mac lalu.

Musfazri Ashray, 21, seorang anak yatim dibesarkan oleh neneknya, Fatimah Abd Ghani, 84, di Kampung Hujung Matang, Kota Kuala Muda dimasukkan ke wad akibat muntahnya berwarna pekat dan mengalami perut kembung.

Selepas dua hari ditahan di wad dia dibenarkan pulang dan dijaga di rumah ibunya di Tikam Batu, namun masih mengalami simptom sama dan tidak mahu makan.

Menceritakan detik bersama, Fatimah berkata, dia cukup terasa kehilangan Musfazri kerana selama ini dia banyak menghabiskan masa bersama cucunya itu, termasuklah menjaga makan, minum, memandikannya dan menukar lampin serta baju.

“Abang (panggilan kepada Musfazri) suka makan sayur masak lemak dan roti planta, walaupun tok sakit darah tinggi dan asma, tetapi tok ikhlas menjaganya. Tok memang terasa sunyi, terutama pada waktu malam kerana abang sudah tiada,” katanya yang menerima kunjungan Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, arwah tidak banyak keletah, hanya menangis apabila mahu makan dan berasa cukup seronok apabila menyuap nasi bersama masak lemak kesukaannya ketika masih sihat.

“Dulu hari-hari memang kena masak, walaupun tak larat dan terasa kuat semangat dengan adanya abang tetapi sekarang dah tak kisah untuk masak, makan yang mana ada sahaja, kadang-kadang anak-anak akan bekal makanan. Malam pula saya akan tidur di rumah anak yang terletak bersebelahan, risau sekiranya diserang pening dan tak boleh bangun,” katanya.

Jenazah Musfazri dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Barakah, Tikam Batu iaitu bersebelahan pusara ayahnya yang meninggal pada 2004 akibat lemah jantung.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Ketua Kampung, Kampung Hujung Matang, Ahmad Baharom berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Sinar Harian, Kelab Rekreasi Avanza Utara (NARC), Pusat Khidmat Wakil Rakyat dan semua pihak yang turut prihatin selama ini.

“Keprihatinan ke atas adik Musfazri diucapkan terima kasih yang memberi sokongan serta pelbagai sumbangan dan diharapkan roh beliau tenang di sana,” katanya.

Musfazri pernah menerima kunjungan Jom Sahur Sinar Harian bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Merdeka, Abdullah Jusoh, 27 Ogos tahun lalu, apabila turut menerima sumbangan sebagai persiapan menempuh Aidilfitri.

Sebulan kemudian, Konvoi Sinar Harian bersama NARC dengan beberapa penaja termasuk Uzai Marketing & Uzai Corporation dan Nawabshah Ibramshah dari Perniagaan Bintang Canvas 24 September 2011 membawa tilam, kelambu, lampin pakai buang, keperluan makanan serta barang keperluan lain untuk mereka berdua.

sumber : sinarharian

No comments: