Partime Job

Monday 19 March 2012

Silat Warisan Pusaka berteraskan agama Islam


PENDANG – Terdapat pelbagai jenis seni silat di negara ini dengan masing-masing mempunyai keistimewaan dan caranya tersendiri.

Seni Silat Warisan Pusaka dari Kampung Pokok Tai mempunyai keistimewaannya tersendiri dan orang ramai tidak perlu ragu untuk menyertai seni silat terbabit kerana ia berteraskan agama Islam.

Pengasasnya, Salleh @ Che Lah Husin, 71, atau lebih dikenali dengan gelaran Pak Long Lah merupakan guru utama yang aktif mengembangkan seni silat terbabit di seluruh Kedah.

Walaupun dilihat pada usianya yang semakin meningkat, namun semangat dalam mengajar seni silat itu masih tinggi dalam dirinya sehinggakan pada masa ini terdapat lebih enam cawangan yang aktif di bawah pertubuhan seni silat terbabit antaranya di Kampung Pokok Tai, Kampung Sungai Baru, Pokok Tai Lama, Kampung Bujung Merbok, Taman Seri Pinang Sungai Petani dan Kampung Sagor Padang Pusing Pendang.

Pak Long Lah seorang guru agama dan persilatan yang tegas dan berlemah-lembut dalam mengajar menyebabkan kebanyakan anak murid menyenanginya.

Yang Dipertua Pertubuhan Seni Silat Warisan Pusaka Kampung Pokok Tai, Mohd Amir Hassan, 38, berkata, Pak Long Lah masih lagi aktif mengajar dan mengembangkan seni silat itu di merata kawasan termasuk Sik dan Baling.

Menurutnya, sejarah seni Silat Warisan Pusaka itu bermula apabila pengasasnya belajar seni silat bersama sembilan guru dan terus menggabungkan semua ilmu yang dipelajari serta mewujudkan satu pertubuhan yang didaftarkan dengan nama Pertubuhan Seni Silat Warisan Pusaka Kampung Pokok Tai.

Katanya, seni silat itu mula diasaskan kira-kita tahun 70-an yang bermula di Kampung Pokok Tai apabila pengasasnya menubuhkan satu gelanggang di kampung berkenaan dengan keahlian ketika itu seramai hampir 1,000 orang.

“Ketika itu ramai ahli, namun apabila seni silat ini didaftarkan di bawah Kementerian Kesenian pada 2011, ahli yang mampu dikesan hanya 500 orang sahaja. Jadi kami barisan jawatankuasa untuk mengesan ahli lama supaya dapat didaftarkan dalam pertubuhan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Ilmu agama Islam teras dalam Silat Warisan Pusaka

Mohd Amir berkata, orang ramai yang ingin menyertai pertubuhan itu tidak perlu ragu-ragu kerana seni Silat Warisan Pusaka meletakkan ilmu agama Islam sebagai teras dalam setiap pengajaran.

Anak pengasas dan juga Ketua Gelanggang, Mohd Al-Hafiz Salleh @Che Lah Hussin berkata, seni Silat Warisan Pusaka sangat istimewa kerana tarian seni silat itu tidak menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah, tetapi mempunyai cara yang tersendiri.

“Mempelajari asas sahaja sudah mencukupi untuk mengetahui semua pergerakan seperti doa, tari, pukulan (asas) kerana buah pukulan yang hebat akan datang secara tidak langsung,” katanya.

Menurutnya, seni Silat Warisan Pusaka dilihat agak kasar dari pukulan dan gerakan berbanding seni silat yang lain dan setiap ahli perlu menamatkan pembelajaran asas selama enam bulan dan diakhiri dengan Majlis Pelimau.

Katanya, seni silat itu mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat setempat terutamanya penduduk dari Kampung Pokok Tai apabila lebih 80 peratus golongan muda menyertainya.

Mohd Amir berkata, untuk pertunjukan seni silat itu menggunakan pakaian hitam dan yang membezakan seseorang ahli itu adalah warna tali pinggang yang dipakai seperti warna putih (asas), hijau (ahli yang cukup ilmu), merah (jurulatih), kuning (guru utama).

“Selain silat, pertubuhan ini juga mempunyai kumpulan gendang terdiri daripada beberapa kumpulan iaitu dari Kampung Paya Mengkuang, Baloh, Pokok Tai yang pernah menjadi johan peringkat negeri Kedah 2009.

“Pertubuhan seni Silat Warisan Pusaka ini sering menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan dan mendapat jemputan untuk sebarang majlis,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, pertubuhan ini menubuhkan satu khairat kematian untuk ahli, kelas agama, pasukan bentara, program Yasin ke rumah-rumah dan banyak lagi.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai pertubuhan ini boleh menghubungi menerusi 014-7194974, 012-4007240 atau 013-4337113.

sumber : sinarharian

No comments: