Partime Job

Monday 19 March 2012

Sel barah merebak kembali


UNGAI LALANG – Sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah perumpamaan yang sesuai digambarkan dengan nasib seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang disahkan menghidap barah pada Mei 2011 tetapi turut patah kedua-dua kakinya, dua minggu lalu.

Muhammad Fakhrul Mikail menghidap barah saraf (neuroblastoma) dan perlu menjalani kimoterapi setiap dua minggu sekali di Hospital Pulau Pinang.

Ibunya, Zuraida Abu Bakar, 30, terpaksa berhenti kerja bagi memberi sepenuh perhatian kepada anak tunggalnya itu sementara bapanya, Mohd Farid Yusof, 36, sering mengambil cuti bagi menghantar anaknya ke hospital.

Zuraida berkata, ketumbuhan saraf pada Muhammad Fakhrul dikesan Mei tahun lalu apabila matanya sering bengkak.

“Selepas habis semua sesi kimoterapi bagi ketumbuhan saraf mata dan buah pinggang pada Oktober 2011, dia kembali aktif namun pada Januari 2012 saya perasan ada benjol di bawah ketiaknya.

“Selepas buat pemeriksaan, doktor mengesahkan sel barah merebak kembali dan dia terpaksa ulangi sesi kimoterapi,” katanya kepada Sinar Harian.

Zuraida berkata, sepanjang rawatan kimoterapi, Muhammad Fakhrul menjadi letih, tidak lalu makan dan minum, demam serta cirit-birit dan kadang-kadang tidak boleh bangun.

Katanya, kesan kimoterapi sangat kuat sehingga menjadikan tulang anaknya rapuh dan dua minggu lalu apabila sedang bermain, dia terjatuh sehingga membuatkan kedua belah kakinya patah.

“Ibu mana yang tidak sedih melihatkan masa depan anak yang terpaksa mengharungi pelbagai cabaran, namun atas sokongan keluarga kami tabah dengan ujian ini,” katanya.

Walaupun Muhammad Fakhrul mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan, tetapi pendapatan bapanya kira-kira RM800 tidak mampu menanggung perbelanjaan yang semakin meningkat.

Mereka memerlukan RM350 sebulan bagi perbelanjaan susu yang disyorkan doktor, RM70 sebulan bagi membeli lampin pakai buang dan kos ulang-alik setiap dua minggu sekali ke Pulau Pinang mendapatkan rawatan.

Mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Zuraida di talian 019-4271276 atau terus melalui akaun Maybank 152050065164.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Amanjaya Zon Mawar Fasa 7, Saiful Saad berkata, tabung bagi membantu Muhammad Fakhrul dilancarkan dan akan diedarkan selain diletakkan di lokasi awam bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

sumber : sinarharian

No comments: